22 Disember 2023, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Putrajaya – Bakat karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terserlah apabila seorang lagi karyawan DBP dinobatkan sebagai pemenang utama bagi kategori Editor Naskhah Terbaik Kemanusiaan dan Sains Sosial 2021 dalam Anugerah MAPIM–KPT Ke-14.

Dalam majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya pada pagi tadi, Puan Normala Mohamad Yusof yang merupakan karyawan DBP dari Bahagian Buku Bahasa, Jabatan Penerbitan berjaya memenangi kategori tersebut menerusi buku yang ditanganinya, iaitu Revolusi Bahasa Asas dan Tamadun.

Sebagai pemenang, Puan Normala membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000.00, trofi dan sijil penghargaan. Menurut Puan Normala, anugerah ini suatu penghargaan yang sangat bermakna kepada editor kerana editor memainkan peranan yang penting dalam membentuk sesuatu penulisan sehingga menghasilkan sebuah buku yang baik, difahami dan mesejnya sampai kepada masyarakat.

Tambahnya lagi, editor di DBP sentiasa mementingkan kualiti dari aspek penyuntingan manuskrip yang diperolehnya supaya menepati tatabahasa bahasa Melayu, seterusnya selaras dengan usaha dan matlamat organisasi ini untuk menyebarkan bahan penerbitan yang dapat dijadikan sebagai rujukan yang bukan sahaja tepat dari segi kandungannya, malah gramatis dari segi bahasanya.

Anugerah MAPIM–KPT Ke-14 yang telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi ini menghimpunkan penilaian bagi tahun 2021 dan tahun 2022, sekali gus menerusi 18 kategori.

Menurut YBhg. Prof. Dr. Azlinda, di sebalik pengiktirafan yang diberikan ini, perkara yang lebih penting ialah setiap penerbitan itu sampai kepada masyarakat untuk membantu negara terus maju ke hadapan.

YBhg. Prof. Dr. Azlinda berharap agar setiap penerbitan yang diterbitkan sampai kepada masyarakat.

Sebagai rekod, Puan Normala Mohamad Yusof bukanlah karyawan DBP pertama yang diiktiraf pencapaiannya menerusi anugerah seperti ini. Sebelum ini, Puan Zalimah Yahaya pernah memenangi kategori yang sama sebagai pemenang hadiah penghargaan dalam Anugerah MAPIM-KPT 2017 menerusi buku Memahami Kecacatan Bahasa dan Komunikasi.

Dalam Anugerah MAPIM–KPT 2019 Ke-13 pula, dua orang karyawan DBP, iaitu Encik Mohd Amizi Ikman Amran dan Puan Siti Mariam Othman dinobatkan sebagai pemenang utama dan pemenang hadiah penghargaan, iaitu masing-masing dalam kategori Anugerah Editor Naskhah Terbaik. Pada waktu itu, Encik Mohd Amizi Ikman Amran dipilih sebagai pemenang menerusi buku Amalan Terbaik Organisasi Pembelajaran di Sekolah, manakala Puan Siti Mariam Othman dipilih menerusi buku Polifenol Sumber Makanan dan Manfaat Kesihatan.

Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat bergambar bersama-sama pemenang, Puan Normala Mohamad Yusof.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.