3 Januari 2024, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Bagi menyemarakkan kembali penggunaan tulisan Jawi, khususnya di dalam kampus, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Unit Hal Ehwal Islam telah menganjurkan Program “Memaknakan Makna Jawi” pada hari ini.

Program anjuran bersama Pejabat Rektor ini melibatkan semua warga UiTM Cawangan Perlis dan diadakan secara berfasa, yang dimulai dengan Pejabat Rektor, Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kewangan dan Polis Bantuan. Walau bagaimanapun, untuk bahagian atau unit lain akan diteruskan pada tarikh yang berbeza.

YBhg. Prof Madya Dr. Shukor Sanim ketika memberikan ucapan pembukaan dalam program “Memaknakan Makna Jawi”.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memberikan pendedahan mengenai tulisan Jawi dan sekali gus menyemarakkan semula penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan warga UiTM Cawangan Perlis.

Selain itu, program ini turut diadakan untuk memelihara legasi dan martabat tulisan Jawi itu sendiri kerana tulisan Jawi merupakan tulisan awal yang digunakan secara meluas sebelum ini di Malaysia.

Kedudukan tulisan Jawi mulai tergugat apabila sistem tulisan Rumi diterima pakai dalam sistem pentadbiran dan pendidikan di Malaysia secara rasmi pada sekitar tahun 1960-an. Meskipun tindakan itu tidak mematikan tulisan Jawi sepenuhnya, tetapi boleh menyebabkan tulisan Jawi terhapus secara perlahan-lahan.

Encik Mohd Rizal Hanafi, Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Islam) yang memberikan penerangan mengenai asal usul tulisan Jawi.

 

Antara peserta yang terlibat dalam program yang dianjurkan oleh UiTM Cawangan Perlis.

Program “Memaknakan Makna Jawi” ini merupakan antara usaha yang dibuat oleh UiTM Cawangan Perlis untuk mempopularkan kembali tulisan Jawi kepada warganya. Selain itu, UiTM Cawangan Perlis turut mula menaikkan papan tanda yang menggunakan tulisan Jawi di pintu masuk bahagian atau unit di sini secara berperingkat.

Melalui usaha itu, secara tidak langsung warga kampus dan para pelanggan yang berurusan di kampus ini dapat mempraktikkan semula bacaan dan tulisan Jawi mereka.

Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi (menjalankan fungsi Rektor), Encik Khairul Abdul Razak (Timbalan Pendaftar Kanan),  ketua bahagian dan unit serta staf bahagian dan unit yang terlibat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.