Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangParit Jawa – Usaha memupuk nilai santun dan adab dalam berkomunikasi telah dilaksanakan oleh mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan mengadakan program Kenduri Rakyat: Dari Rasa Mengikat Budi, yang berlangsung di Kompleks Penghulu Parit Jawa pada 5 Januari dan 6 Januari lalu.
Kenduri rakyat ini bertujuan melatih mahasiswa berkomunikasi dengan santun dan sopan sekali gus merapatkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dengan komuniti Parit Jawa, serta menyantuni nilai santun dan adab antara satu sama lain.
Kenduri Rakyat yang melibatkan sebanyak 80 orang mahasiawa UIAM Kampus Pagoh bersama dengan pensyarah subjek BMCO 3102 Kesantunan Berbahasa, iaitu Prof. Madya Dr. Arina Johari telah turun padang bersama-sama komuniti Parit Jawa.
Kenduri Rakyat yang berlangsung pada pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang itu diisi dengan pelbagai aktiviti yang mampu menyambung ikatan budi antara mahasiswa dengan komuniti setempat.
Menurut pengarah program, iaitu Farah Ain Tajuddin, kesantunan berbahasa ini bersifat holistik yang melihat tahap nilai santun dalam perbuatan, percakapan, ujaran dan bahasa. Oleh itu, penerapan nilai santun dalam program kenduri rakyat ini diterapkan bagi menjalinkan ikatan yang baik bersama-sama masyarakat Parit Jawa.
Antara aktiviti yang dijalankan oleh mahasiswa bersama dengan komuniti Parit Jawa termasuklah rewang sekitar Kompleks Penghulu, membersihkan ayam, mengacau dodol, mengecat dinding bangunan dan membersihkan kawasan sekitar kompleks.
Selain itu, program kenduri rakyat ini juga diisi dengan aktiviti sukan rakyat seperti capteh, boling kelapa, congkak, dam haji dan aktiviti mewarna bagi kanak-kanak. Sambutan yang diterima daripada komuniti Parit Jawa juga amat baik dan meriah.
Kenduri rakyat ini turut dihadiri oleh YB Tuan Haji Selamat Takim (ADUN Sungai Balang), Encik Mohd Afezan Yahya (Penghulu Mukim Parit Jawa) dan Dr. Nurul Jamilah Rosly (Ketua Jabatan Bahasa Melayu Kuliyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM Kampus Pagoh).
Menurut YB Tuan Haji Selamat Takim, beliau terharu kerana mahasiswa dapat menyumbang masa dan tenaga bersama-sama masyarakat Kampung Parit Jawa yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik dalam menjayakan program kenduri ini. Kehadiran mahasiswa UIAM diharapkan menjadi semangat lembaran tahun baharu kepada masyarakat di kawasan Kampung Parit Jawa.
Selain itu, menurut Dr. Nurul Jamilah Rosly, istilah kenduri rakyat bukan hanya sekadar kenduri-kendara bersama-sama rakyat, bahkan memupuk semangat sukarelawan dan kesatuan yang dibina ketika kenduri rakyat berlangsung.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Arina Johari pula menyatakan bahawa matlamat program ini merupakan wadah untuk menyatukan semua pihak sebagai satu komuniti dan mewujudkan pertalian kekeluargaan dalam membina kesatuan yang berjaya.