Oleh Noor Aizah Abas
21 Januari 2024, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Pameran Pendidikan Jepun JASSO 2024 telah berlangsung di Hotel Amari, Kuala Lumpur, semalam. Penganjur utama pameran ini ialah Pertubuhan Perkhidmatan Pelajar Jepun (JASSO), yang berkolaborasi dengan penganjur bersama, iaitu Kedutaan Jepun di Malaysia, Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Persatuan Graduan Jepun Malaysia (JAGAM), Persatuan Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS) dan Yayasan Jepun Kuala Lumpur.

Reruai Universiti Hiroshima menerima pelawat yang terbanyak terutamanya bagi mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah. Delegasi Universiti Hiroshima diketuai oleh Puan Yoko Marukawa, dan Profesor Madya Tetsuro Hosaka dari Kumpulan Strategi Global, Pejabat Antarabangsa, Universiti Hiroshima, serta dua orang alumni.

Pelawat yang berkunjung ke reruai Universiti Hiroshima berpeluang berinteraksi secara langsung dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Jepun. Mereka mengajukan pelbagai soalan tentang kelebihan belajar di Universiti Hiroshima, kursus yang ditawarkan, biasiswa, sistem universiti dan kolej di Jepun, prosedur kemasukan ke Universiti Hiroshima dan peperiksaan JLPT, serta EJU.

Pihak penganjur berpendapat bahawa Sudut Budaya Jepun, kelolaan Japan Foundation merupakan daya penarik pameran pendidikan pada kali ini. Terdapat peningkatan pengunjung berbangsa Melayu yang ketara berbanding dengan sebelumnya.

Dengan tema “Tahun Baharu Jepun”, rata-rata pengunjung berminat untuk cuba membuat furoshiki, origami dan bermain permainan tradisional Jepun seperti kendama dan banyak lagi.

Terdapat juga acara aktiviti bahasa melalui fukuwarai dan kuiz bahasa Jepun. Di samping itu, Japan Foundation turut mempamerkan bahan pembelajaran bahasa Jepun yang inovatif.

Yang paling menarik perhatian pengunjung ialah sudut foto, iaitu mereka boleh merakam memori dengan memakai topeng muka, pakaian peragaan busana (cosplay) serta pakaian tradisional Jepun.

Pameran pendidikan ini diserikan lagi dengan kehadiran Perwakilan Pendidikan Kedutaan Jepun, Encik Saito Yukiyoshi, yang mewakili Duta Besar Jepun ke Malaysia. Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan pameran yang amat bermanfaat ini. Beliau turut berharap agar pengunjung yang berminat untuk menimba ilmu di negara matahari terbit dapat merealisasikan impian mereka.

Sebanyak 14 buah institusi terlibat dalam pameran pendidikan ini, iaitu tujuh buah universiti awam dan swasta, sebuah kolej vokasional, lima buah sekolah bahasa Jepun dan sebuah institusi yang mempromosikan kerjasama luar negara.

Pihak penganjur juga menyediakan maklumat terkini mengenai pendidikan tinggi di Jepun, ciri-ciri khas setiap institusi pendidikan, dan lain-lain maklumat kepada para pengunjung. Selain itu, terdapat juga reruai Perundingan Am, reruai Persatuan Pelajar Antarabangsa, sesi seminar dan Sudut Budaya Jepun.

Objektif pameran pendidikan ini adalah untuk membantu pelajar Malaysia agar mereka dapat memilih institusi yang bersesuaian dengan minat dan cita-cita bagi menimba pengalaman belajar di Jepun melalui program siswazah, pascasiswazah, sekolah vokasional (kursus khusus) dan bahasa Jepun.

Perwakilan Pendidikan Kedutaan Jepun, iaitu Encik Saito Yukiyoshi bergambar kenangan bersama-sama penulis dan petugas.
Pengunjung cuba membuat origami.
Sudut berfoto dengan memakai pakaian tradisional Jepun.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.