2 Februari 2024, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan bahawa DBP sentiasa membuka ruang yang seluas-luasnya kepada rakan pelbagai agensi, sama ada sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menyokong usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa  negara, dan bahasa ekonomi.

“Sehubungan dengan itu, DBP turut menyambut baik pelaksanaan Hari Kru Filem Malaysia di sini, dan hal ini sekali gus dapat mengeratkan kerjasama pemerkasaan bahasa Melayu dalam bidang perfileman,” ujar YBrs. Dr. Hazami dalam ucapannya sebelum majlis pelancaran Hari Kru Filem Malaysia 2024 di Balai Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Filem, tambah beliau, merupakan medium penyebaran bahasa yang sangat berpengaruh dalam kalangan masyarakat. Katanya lagi, filem juga merupakan seni persembahan visual bersama-sama pemikiran dalam olahan cerita yang dilengkapkan oleh bahasa, atau dialog menerusi penghasilan skrip.

“Penggunaan bahasa atau lontaran dialog oleh para watak pada akhirnya mampu melambangkan budaya, dan imej tersendiri,” ujar YBrs. Dr. Hazami, yang kemudiannya berpantun, “Ada sepeku emas suasa, sirat bersemu di dalam peti; filem berpaku budaya bangsa, di situ ilmu penyubur budi”.

Hari Kru Filem Malaysia 2024 yang berlangsung dari pukul 9.00 hingga 5.00 petang semalam dianjurkan oleh Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), dan DBP. Pada tahun lalu, Hari Kru Filem Malaysia 2023 (kali pertama) dilangsungkan di FINAS, Hulu Kelang.

YBrs. Dr. Hazami seterusnya menarik perhatian hadirin bahawa DBP mempunyai banyak hasil karya penerbitan daripada pelbagai bidang yang boleh diadaptasi, ataupun dialih wahana penerbitannya menjadi filem, drama, teater, dan audio siar berdasarkan kepakaran, dan daya kreatif pengarah, penulis skrip, penerbit, dan jalinan idea semua petugas bagi menzahirkan layar cerita yang terbaik.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Kamil Othman, Pengerusi FINAS dalam ucapannya sebelum melancarkan Hari Kru Filem Malaysia 2024 mengucapkan terima kasih kepada DBP kerana menyediakan tempat yang hebat dan gah, sesuai dengan matlamat penganjuran, iaitu hari untuk meraikan semua warga kerja profesional perfileman negara ini.

Sebagai antara unsur penting dalam sesebuah filem Melayu, FINAS sedar bahawa bahasa Melayu mesti dipelihara dan diperhebat penggunaannya. Justeru, penganjuran Hari Kru Filem Malaysia 2024 di DBP memang tepat, dan sesuai ke arah pencapaian hasrat murni kita semua ini.

Keinginan tersebut jelas terlihat apabila satu perbincangan khas, iaitu Wacana Filem: Isu Bahasa dan Budaya dalam Filem diadakan sebelum majlis pelancaran Hari Kru Filem Malaysia 2024, yang menampilkan YBhg. Dato’ Saniboey Mohd. Ismail,YBrs. Encik Ku Seman Ku Hussain, dan YBrs. Puan Viva Westi, pengarah filem dari Indonesia sebagai ahli panel, dengan pemudah caranya, Encik Fadzil Idris dari PROFIMA.

Selain wacana filem tersebut, Hari Kru Filem Malaysia 2024 turut diisi dengan Mesyuarat Agung PROFIMA, program bersama-sama kru filem Malaysia, dan Bual Bicara Bersama-sama YBhg. Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, yang dimudahcarakan oleh YBrs. Encik Khalil Haji Salleh, Presiden PROFIMA.

Hari Kru Filem Malaysia 2024 turut memberikan Anugerah PROFIMA sebagai tanda penghargaan kepada sembilan orang warga kerja filem Malaysia, termasuk pelakon veteran Din Glamor, Halim Sabir, Norehan Yaakob dan Dewa Sapri, serta pengarah fotografi terkenal, Indra Che Muda Redzuan, dan Ikhlas Redzuan.

YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP (berbaju merah) menandatangani gimik pelancaran Hari Kru Filem Malaysia 2024 di Balai Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
YBhg. Dato’ Kamil Othman, Pengerusi FINAS (tengah) menandatangani gimik pelancaran Hari Kru Filem Malaysia 2024 di Balai Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.