Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBukit Mertajam – Satu sesi perkongsian ilmu, iaitu Wacana Cendekia I: Bahasa Jiwa Bangsa menjadi medan bagi para pencinta bahasa Melayu memberikan pencerahan terhadap keraguan tentang keupayaan bahasa Melayu telah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
Bahasa Melayu sering berhadapan dengan kritikan dan komentar daripada pihak tertentu. Kritikan tersebut kadang kala memperlihatkan bahawa kelompok ini mempunyai krisis keraguan terhadap keupayaan bahasa Melayu. Rentetan itu, DBP melalui DBP Wilayah Utara (DBPWU) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program tersebut yang bertempat di Galeri Ilmu, DBPWU.
Wacana ini bermatlamat untuk memberikan maklum balas dan penjelasan kepada masyarakat terhadap isu bahasa yang dibangkitkan oleh seorang sarjana baru-baru ini menerusi rakaman video yang tular dalam aplikasi TikTok.
Program ini telah dihadiri oleh 80 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, penjawat awam, penulis, penggiat bahasa dan sastera serta siswa, dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya menegaskan bahawa,
Tugas memperkasakan bahasa Melayu dan mendaulatkan bahasa Melayu bukan tugas DBP semata-mata. Hal ini merupakan tugas kita yang mengaku sebagai warga Malaysia, sama ada Melayu, Iban, Cina, Bidayuh, Kadazan, Dusun, Orang Ulu, Murut, India, orang Siam, mahupun orang asal. Tugas kita sama-sama untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Tambah beliau lagi,
Saya ingin menegaskan bahawa dasar kerajaan termasuk DBP tidak menghalang malah menyokong usaha untuk memperkasakan rakyat melalui penguasaan banyak bahasa. Jika dilihat dalam sistem pendidikan negara, di samping kita mengajar bahasa Melayu, kita juga ada bahasa Iban, bahasa Kadazan, bahasa Mandarin bahasa Tamil, dan di universiti kita menambah pula dengan bahasa antarabangsa.
Antara inti pati yang dibincangkan dalam program ini termasuklah tentang fungsi dan peranan yang telah dimainkan oleh DBP dalam usaha memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu. Sekiranya terdapat segelintir pihak yang enggan akur akan peraturan bahasa Melayu atau merendah-rendahkan martabat bahasa Melayu, pihak tersebut perlu mengkaji semula sejarah bahasa Melayu. Secara jelasnya, DBP telah melaksanakan tanggungjawab korporatnya dengan sokongan dan bantuan pelbagai pihak semata-mata untuk memperkasakan bahasa Melayu di Malaysia.
Ahli panel yang diundang untuk berkongsi pandangan dalam hal ini termasuklah Pensyarah USM, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong; Guru SMK Sg. Pasir, Sungai Petani, Dr. Kaithiri a/p Arumugam; Pensyarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr. Cham Nian a/l Song dan Tuan Haji Zainal Abiddin Osman, selaku moderator.
Program ini turut dihadiri oleh Pengarah DBPWU, YBrs. Encik Armin Azhari Saleh; Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang, YBrs. Encik Sabri Said dan Penolong Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Seberang Perai, YBrs. Puan Laily Munirah Kamarulzaman. Yang turut serta bersama-sama dalam wacana ini termasuklah para pelajar dari Beijing, Guangdong, Guangxi dan Yunnan, China.