14 Februari 2024, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Encik Norfazrie Isquandy Nurol

Kuching – Bersempena dengan penganjuran Festival Bahasa Jiwa Bangsa 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah menganjurkan Program Bimbingan Penerbitan Buletin dan Sayembara Penulisan Sajak, Cerpen dan Novel Kanak-kanak di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak, semalam. Program ini melibatkan lebih daripada 100 orang peserta dari seluruh negeri Sarawak.

Program Bimbingan Penerbitan Buletin yang diadakan pada sebelah pagi menampilkan Siti Nur Atiqah Amirudin dan Intan Nur-Izzati Shabri sebagai pembimbing yang menawarkan bimbingan tentang Asas Penerbitan dan Penulisan Buletin.

Program ini disertai oleh kakitangan awam dari pelbagai jabatan kerajaan persekutuan dan negeri di Sarawak. Rata-rata mereka menzahirkan minat untuk mempelajari teknik penerbitan dan penulisan yang lebih mendalam bagi menghasilkan buletin jabatan yang berkualiti.

Selain penekanan dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul melalui sesi “Biasakan yang Betul, Betulkan Yang Biasa”, para peserta turut diberi pendedahan tentang penggunaan aspek sastera dalam penulisan agar penulisan buletin dilihat lebih segar dan bervariasi.

Pembimbing juga mengingatkan para peserta untuk menggunakan peribahasa, mutiara kata dan ungkapan yang menarik sebagai faktor penambat hati pembaca. Pihak editor juga boleh memuatkan ruangan karya staf untuk dipaparkan dalam buletin jabatan masing-masing.

Sementara itu, pada sebelah petang, DBP Cawangan Sarawak juga mengadakan Program Bimbingan Penulisan Sajak, Cerpen dan Novel Kanak-kanak yang dibimbing oleh Dorensia Dyonie Dominic dan Mohamad Faizal Jamil (Munsyi Sastera). Peserta bagi program ini terdiri daripada para penulis, guru dan khalayak umum.

Program ini diadakan untuk memberikan hebahan kepada para peserta tentang penganjuran Sayembara Penulisan Sajak, Cerpen dan Novel Kanak-kanak oleh DBP Cawangan Sarawak pada tahun ini. Sehubungan dengan itu, pembimbing menekankan tentang syarat dan keterangan sayembara dalam sesi bimbingan bagi memudahkan para peserta menyertai pertandingan tersebut nanti.

“Sarawak Maju Makmur” merupakan tema Sayembara Penulisan Sajak pada tahun ini manakala Sayembara Penulisan Cerpen dan Novel Kanak-kanak masing-masing mengangkat tema “Kearifan Tempatan” dan “Futuristik”. Kesemua sayembara ini akan akan ditutup penyertaannya pada bulan Mei 2024.

Yang menariknya, melalui kedua-dua program bimbingan ini, para pembimbing memperkenalkan aplikasi Kamus Pro kepada para peserta bagi memudahkan mereka merujuk perkataan yang hendak digunakan dalam penulisan dan contoh penggunaan yang betul dalam ayat. Buku terbitan DBP, iaitu Gaya Dewan Edisi Keempat yang memuatkan panduan asas penerbitan juga dipromosikan kepada para peserta.

Para peserta ceria semasa sesi bimbingan.

Peserta tekun mendengar perkongsian daripada pembimbing.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.