16 Februari 2024, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Encik Norfazrie Isquandy Nurol

Kuching Festival Bahasa Jiwa Bangsa 2024 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak merupakan program yang menggabungkan pelbagai aktiviti dalam satu-satu masa. Pelaksanaan festival ini bertujuan merancakkan kegiatan bahasa dan sastera di Sarawak, di samping secara tidak langsung melahirkan masyarakat yang berilmu, berinovasi dan kreatif melalui penganjuran pelbagai aktiviti.

Sebanyak sembilan program dilaksanakan sepanjang Festival Bahasa Jiwa Bangsa 2024 yang bermula pada 13 Februari 2024 hingga 16 Februari 2024. Antaranya termasuklah Program Bimbingan Penerbitan Buletin Jabatan, Program Bimbingan Sayembara Penulisan Novel Kanak-kanak, Cerpen dan Puisi, Sayembara Pidato Bahasa Jiwa Bangsa (Jabatan Kerajaan, Swasta dan Bank), Taklimat Akademi DBP, Syarahan Hari Pejuang Bahasa 152, dan Persembahan Dendang Nurani “Malam Bersama Palestin”.

Majlis perasmian festival ini telah disempurnakan oleh Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap agar keseluruhan program yang dirangka sepanjang tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Sarawak.

Rekayasa 2024 DBP Cawangan Sarawak yang mengandungi perancangan serta pelaksanaan projek bagi tahun 2024 ini pastinya akan memberikan manfaat kepada semua penduduk di bumi kenyalang ini.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, iaitu Encik Abang Haliman Haji Abang Julai dalam ucapan alu-aluannya berharap agar kegiatan yang telah dirangka sebanyak 284 program dapat memberikan impak yang lebih berkesan.

Justeru, pada tahun 2024, kami mengenal pasti 284 program yang akan kami laksanakan secara anjal agar keterlibatan pelbagai pihak, sama ada sebagai rakan sinergi, penganjur bersama atau sokongan badan bukan kerajaan dapat memberikan impak yang lebih baik.

Pada majlis yang sama, hadiah kepada para pemenang turut disampaikan untuk Sayembara Pidato Bahasa Jiwa Bangsa, Anugerah Citra Buletin Jabatan, Sahabat Bahasa DBP dan Penerima Lestari Bahasa 2023, dan Pelancaran Buku Melakar Naratif Bahasa Jiwa Bangsa.

Persembahan tarian oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sarawak.
Tetamu kehormat, para peserta dan pemenang bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.