16 Februari 2024, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching Penyertaan yang menggalakkan terutamanya dalam kalangan penjawat awam dalam Sayembara Pidato Bahasa Jiwa Bangsa 2024 Peringkat Negeri Sarawak, yang berlangsung pada 14 Februari 2024 memperlihatkan usaha yang berterusan dalam menjulang bahasa kebangsaan.

Sayembara yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak ini terbuka kepada dua kategori, iaitu Kategori Jabatan Kerajaan dan Kategori Swasta dan Bank.

Pada tahun ini, tema yang dipilih ialah “Bahasa Jiwa Bangsa” bersempena dengan Festival Bahasa Jiwa Bangsa yang berlangsung dari 13 Februari 2024 hingga 15 Februari 2024.

Penganjuran sayembara ini bertujuan memperkasakan dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain turut memberikan ruang kepada masyarakat untuk berhujah dan menyampaikan idea mengenai isu semasa yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan di Malaysia.

Di samping itu, sayembara ini jugabertujuan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat selain mampu melahirkan generasi yang berhemah dan petah berucap. Justeru, penganjuran pada kali ini dilihat mampu mempersiapkan masyarakat khususnya penjawat awam atau swasta dengan kemahiran insaniah yang lengkap dan holistik.

Pada kali ini, johan sayembara menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.00, RM1,000.00 bagi naib johan, RM500.00 untuk tempat ketiga dan RM250.00 bagi dua orang penerima sagu hati.

Sebanyak sembilan orang pemenang daripada 20 orang peserta telah dipilih oleh panel hakim berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Bagi Kategori Jabatan Kerajaan, johan dirangkul oleh Puan Zakia Setu yang mewakili IPG Kampus Tun Abdul Razak. Naib johan pula disandang oleh Encik Canigia Uden Ben dari SMK Kapit, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Encik Muhamad Izhar Salim dari IPG Kampus Tun Abdul Razak. Sementara itu, Puan Nur Farihah Ahmad Putera dari IPG Kampus Batu Lintang dan Encik Linvern Paulus Sendys dari IPG Kampus Rajang membawa pulang hadiah sagu hati.

Bagi Kategori Swasta dan Bank pula, johan disandang oleh Encik Muhamad Nazrul Zawawi Muhamad Sarkawi yang mewakili Yayasan Sarawak International Education Sdn. Bhd., manakala naib johan pula dirangkul oleh Puan Cloudia John dari Universiti Kebangsaan UNITAR. Tempat ketiga dimenangi oleh Puan Iffah Nur-Farhana Shabri dari Pusat Pakar Perubatan Normah, manakala Encik Mike Tyson Paing dari Perkhidmatan (Service Expert) Maguro Sdn. Bhd. pemenang hadiah sagu hati.

Sementara itu, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang berlangsung semalam dalam Majlis Perasmian Festival Bahasa Jiwa Bangsa 2024 yang disempurnakan oleh YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Sebahagian daripada peserta yang mengambil bahagian dalam Sayembara Pidato Bahasa Jiwa Bangsa Peringkat Negeri Sarawak 2024.
Penyampaian hadiah kepada pemenang oleh YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, yang diiringi oleh YBrs. Puan Noor Seela Noor Sulaiman, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.