16 Februari 2024, 18:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Selaras dengan peningkatan permohonan kursus bahasa, sastera dan penerbitan yang diterima oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Akademi DBP telah diundang untuk memberikan taklimat kepada khalayak di Sarawak tentang program latihan dan kursus yang ditawarkan Akademi DBP di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak, semalam.

Taklimat Program Latihan dan Penataran yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Sarawak ini bersempena dengan Festival Bahasa Jiwa Bangsa 2024 dan disertai oleh hampir seratus orang kakitangan kerajaan persekutuan dan negeri, pejabat residen dan pihak berkuasa tempatan di negeri tersebut.

Antara peserta Taklimat Program Latihan dan Penataran yang hadir.

Akademi DBP diwujudkan dengan tujuan merangka strategi dan kaedah pelaksanaan program pendidikan sepanjang hayat khususnya dalam pengajaran bahasa Melayu, sastera dan penerbitan.

Sementara itu, Program Latihan dan Penataran pula disediakan untuk jabatan, sektor awam, swasta, individu, penulis, editor dan masyarakat awam melalui kursus individu atau kursus berpakej seperti Wacana Profesional Berimpak Tinggi (Surat Rasmi dan Memo), Penciptaan dan Pengungkapan Pantun dan Reka Letak Buku dan Majalah.

Selain itu, Akademi DBP juga menawarkan Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing, Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Bahasa, Sastera dan Jawi), Program Sinergi dan Kerjasama Bestari dan Program Sangkutan dengan Pihak Luar (dalam dan luar negara).

Semua Kursus Individu Berbayar dilaksanakan di fasiliti DBP, manakala Kursus Berpakej pula berdasarkan ketetapan yang ditentukan oleh jabatan yang memohon.

Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing pula dilaksanakan berdasarkan permohonan daripada pelbagai pihak termasuklah kedutaan asing, pesuruhjaya asing, agensi pelancongan asing, pekerja asing dan pelajar asing.

Kursus Pembinaan Munsyi Dewan pula disediakan untuk membimbing dan mengenal pasti calon yang layak untuk ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan. Munsyi Dewan merupakan penceramah atau fasilitator yang dilantik oleh DBP untuk mengendalikan dan menyediakan perkhidmatan dalam bidang bahasa, sastera dan Jawi.

Puan Noraida Ismail sedang menyampaikan taklimat kepada para peserta.

Menurut Puan Noraida Haji Ismail, Perancang Bahasa di Akademi DBP, kursus berpakej yang ditawarkan boleh diadakan secara bersemuka atau secara dalam talian mengikut permohonan dari jabatan masing-masing.

Tarikh pelaksanaan bagi Kursus Individu Berbayar atau Kursus Berpakej boleh didapati menerusi laman web akademi.dbp.gov.my. Untuk maklumat lanjut, pihak Akademi DBP boleh dihubungi melalui e-mel [email protected] atau nombor telefon 03-21470201.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.