16 Februari 2024, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Norfazriq Isquandy Norul

Kuching Bersempena dengan Festival Jiwa Bangsa 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak menganjurkan Syarahan Perdana Hari Pejuang Bahasa 152 pada 15 Februari 2024 di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak.

Syarahan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, YBrs. Tuan Haji Japri Bujang Masli, yang membawa mauduk syarahan yang berjudul “Peluang dan Cabaran Bahasa Kebangsaan dalam Era Kecerdasan Buatan”.

YBrs. Tuan Haji Japri Bujang Masli menyampaikan syarahan bersempena dengan Festival Bahasa Jiwa Bangsa 2024.

Dalam syarahan tersebut, beliau menyebut tentang peranan bahasa yang bertindak sebagai tulang belakang kepada perkembangan teknologi kecerdasan buatan. Ujar beliau,

Kecerdasan buatan mempunyai potensi yang sangat besar dan perkembangannya diterajui oleh revolusi yang berlaku dalam bahasa itu sendiri.

Tambah beliau lagi, kebanyakan model kecerdasan buatan terkini berfungsi dengan algoritma Model Large Language dan melalui model bahasa ini, sistem komputer dilatih untuk menganalisis teks dalam pelbagai bahasa yang terdapat dalam internet. Jelas beliau,

Daripada analisis itulah corak dan kebarangkalian setiap satu penggunaan sistem bahasa dikenal pasti sehingga akhirnya berupaya menjanakan ayatnya sendiri mengikut sistem bahasa pengguna.

Beliau turut menggalakkan penutur bahasa Melayu agar menggunakan bahasa Melayu yang betul semasa menggunakan aplikasi kecerdasan buatan, seperti ChatGPT.

Berkenaan dengan cabaran kecerdasan buatan terhadap perkembangan bahasa dan pemartabatannya, beliau menyatakan bahawa segala unsur kelebihan yang ada pada kecerdasan buatan seharusnya dimanipulasi dan dilihat sebagai peluang dan ruang dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang memiliki upaya mengungkapkan teknologi serta ilmu dalam segenap bidang.

Syarahan Perdana Hari Pejuang Bahasa 152 itu merupakan antara program penting dalam setiap penganjuran Festival Bahasa Jiwa Bangsa yang bertujuan memupuk semangat mencintai bahasa kebangsaan dengan menampilkan tokoh penting pejuang bahasa.

Majlis ini turut dihadiri oleh Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP); Sasterawan Negeri Sarawak, YBrs. Jong Chian Lai dan YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (Pengarah DBP Cawangan Sarawak).

Syarahan Perdana Hari Pejuang Bahasa 152 dihadiri oleh lebih kurang 200 orang peserta, mewakili jabatan kerajaan dan agensi swasta di seluruh negeri Sarawak.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.