Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Terengganu –Universiti Malaya (UM) berjaya merangkul gelaran Johan Pertandingan Debat antara Asasi Universiti Awam 2024 bagi kategori Bahasa Melayu pada pusingan akhir yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan mengalahkan 24 pasukan pendebat yang bertanding.
Dengan usul pusingan akhir, “Jurang ekonomi bukan jurang perkauman”, pendebat UM selaku pihak kerajaan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Naib Johan pula diraih oleh Universiti Sains Islam Malaysia yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 sumbangan DBP. Gelaran Pendebat Terbaik Kategori Bahasa Melayu pula menjadi milik Saudara Afiq Athmar Mohamed dari UM.
Pertandingan akhir dan majlis perasmian penutupan Pertandingan Debat antara Asasi Universiti Awam 2024 disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, Naib Canselor UMT. Yang turut hadir ialah YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP; YBrs. Prof. Madya Dr. Laili Haji Che Rose, Pengarah Pusat Asasi STEM, UMT dan YBrs. Prof. Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail, Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia.
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar dalam ucapan perasmian penutupan berkata, kemahiran insani yang terbina dalam diri seorang individu membolehkan pendebat menyuarakan pendapat dengan jelas dan berdasarkan fakta.
Pemerkasaan mahasiswa perlu dipupuk dalam usaha mewujudkan mahasiswa yang berkeyakinan tinggi.
Sementara itu, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluan berkata, DBP akan terus menyokong program kebahasaan dan persuratan dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan bahasa kebangsaan.
Pusingan awal dan suku akhir telah berlangsung secara dalam talian pada 3 Februari dan 4 Februari yang lalu. Pusingan separuh akhir pula diadakan secara bersemuka di UMT pada 17 Februari 2024.
Pertandingan debat ini merupakan acara tahunan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam yang dianjurkan sejak tahun 2020.