22 Februari 2024, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Bersempena dengan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang disambut pada 21 Februari pada setiap tahun, Majlis Pelancaran Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa (HBIA) 2024 diadakan semalam di Balai Seminar, Tingkat 6, Wisma DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

HBIA pada setiap tahun disambut oleh masyarakat seluruh dunia melalui pengisytiharan oleh UNESCO sejak 17 November 1999 di seluruh dunia bagi mengiktiraf kepelbagaian bahasa dalam kalangan penduduk dunia.

Majlis Pelancaran HB1A 2024 yang bertemakan “Pendidikan Berbilang Bangsa Satu Keperluan untuk Transformasi Pendidikan” disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Menurut YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, penguasaan bahasa ibunda bukan sahaja menggambarkan seseorang itu mempunyai jati diri yang kukuh, malah membolehkannya mengungkapkan pemikiran dan menyampaikan perasaan dengan lebih mudah serta yakin berbanding dengan menggunakan bahasa kedua atau ketiga.

Walau bagaimanapun, ujar beliau, dalam konteks pembinaan negara bangsa, warganegara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik perlu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa penyatuan.

Tambah beliau,

DBP sebagai badan yang bertanggungjawab dalam perkembangan bahasa di Malaysia telah menyediakan prasarana berkaitan dengan bahasa, iaitu berkaitan dengan korpus bahasa yang melibatkan perkamusan, peristilahan, tatabahasa, penerbitan buku dan majalah dalam pelbagai bidang.

Beliau turut memuji kehadiran hadirin dalam majlis tersebut yang menggambarkan semangat dan kecintaan yang mendalam terhadap bahasa ibunda dan hal ini merupakan fitrah naluri yang merupakan anugerah Tuhan kepada setiap kelompok manusia di dunia.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa HBIA 2024, YBrs. Encik Kugeneswaran Tamilmany dalam ucapan aluannya berkata, bahasa ibunda mempromosikan kepelbagaian dan toleransi dari segi budaya, adat budaya seperti yang wujud di Malaysia, dan seluruh dunia dan sememangnya Malaysia terkenal sebagai masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang budaya, kaum, bangsa dan agama.

Tegas beliau,

Bahasa ibunda bukan sahaja rapat dalam kehidupan seseorang, tetapi hak bagi semua penutur mempelajari dan menggunakannya dalam kehidupan seharian sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, pendidikan bahasa ibunda yang berlandaskan falsafah pendidikan negara merupakan satu usaha yang berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan modal insan yang seimbang dan harmoni dari segi rohani, emosi dan jasmani berlandaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Beliau turut mengajak seluruh masyarakat dengan kepelbagaian bahasa yang wujud bersama untuk berganding bahu memajukan pendidikan negara sebagaimana tema sambutan HBIA pada tahun ini.

Pada majlis yang sama, satu sesi forum bertajuk “Kepelbagaian Bahasa untuk Memantapkan Pendidikan Negara” turut dianjurkan yang menampilkan Pensyarah Kanan Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, YBrs. Dr. Lee Huan Yik; Mantan Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki, YBrs. Dr. Kumaran Velu Ramasamy. dan Naib Presiden Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA), YBhg. Dato’ TPr Suki Mee.

Majlis tersebut juga diserikan lagi dengan Deklarasi Bangsa-Bangsa Bersatu HBIA 2024, lagu bertema khas HBIA, iaitu Sayang Bahasa Ibunda dan video pelancaran Kadazan Flash Cards App Vol. 3 oleh Kadazandusun Language Foundation.

Penganjur utama majlis sambutan yang disiarkan secara langsung di laman Facebook International Mother Language Day (IMLD) ini terdiri daripada Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok, Jaringan Orang Asal SeMalaysia dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr Anwar Ridhwan ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa (HBIA) 2024.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.