22 Februari 2024, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dan City Universiti Malaysia (CUM), Pusat Wilayah Sabah, akan berkolaborasi melaksanakan program memperkasakan bahasa kebangsaan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) pada tahun ini.

Hal ini disepakati bersama dalam satu pertemuan singkat yang melibatkan kedua-dua pihak pada hari ini di Kompleks DBP Cawangan Sabah.

Puan Siti Ainiza Malix, iaitu Ketua Program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan yang mengetuai rombongan CUM berkata, kunjungan hormat kepada DBP bertujuan menjalinkan kerjasama dengan DBP dalam pelaksanaan program kebahasaan dan persuratan yang melibatkan pelajar dan kakitangan di CUM.

Yang turut hadir bersama-sama beliau ialah Puan Mazniza Joe @ Abdullah, Pensyarah Pentadbiran Perniagaan; Encik Mohammad Sham Mohammad, Pensyarah Mata Pelajaran Umum, dan Encik Mohammad Riad Salim, Pustakawan CUM.

CUM, Pusat Wilayah Sabah ialah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terbaharu yang bertapak di Kota Kinabalu, dan merupakan Pusat Wilayah kedua selepas Pulau Pinang. Kampus utamanya terletak di Petaling Jaya, serta mempunyai satu kampus cawangan di Johor Bahru.

Kehadiran lebih banyak IPTS di Sabah membuka peluang kepada DBP Cawangan Sabah untuk memperluas khalayak bahasa dan sastera khususnya dalam kalangan pelajar bukan Melayu dan ahli akademik.

DBP Cawangan Sabah juga bersedia bekerjasama untuk penganjuran Minggu Bahasa Melayu yang dicadangkan pada bulan Oktober 2024 bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2024.

Program ini diharapkan dapat membangkitkan rasa kecintaan pelajar CUM terhadap bahasa Melayu, serta memberikan kesedaran akan pentingnya bahasa kebangsaan sebagai alat perpaduan kaum di negara ini.

Selain itu, CUM juga berhasrat menerbitkan hasil kajian berbentuk tesis, melaksanakan kursus penataran bahasa dan sastera, serta lawatan sambil belajar ke DBP Cawangan Sabah.

Bersempena dengan kunjungan tersebut, YBrs. Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sabah turut menyampaikan sumbangan Wakaf Buku kepada wakil CUM.

Buku-buku yang disumbang tersebut bertujuan menambah koleksi bahan bacaan bahasa Melayu di perpustakaan institusi berkenaan. Seiring dengan usaha untuk membudayakan tabiat membaca, CUM disarankan agar mengadakan pertandingan resensi buku yang melibatkan pelajarnya manakala hadiah pertandingan akan disumbangkan oleh DBP Cawangan Sabah.

Yang turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan-timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah, iaitu Puan Jennitah Noordin dan Puan Julianah Kuli, dan Pegawai Hal Ehwal Korporat, Puan Hadine Yunus Gadong.

Perbincangan antara DBP dengan City Universiti Malaysia.
Penyerahan sumbangan Wakaf Buku kepada City Universiti Malaysia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.