Oleh Rashid Ating
22 Februari 2024, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah akan menganjurkan Pertandingan Teka Silang Kata Bahasa Sukuan bersempena dengan program Bersahabat dengan Kamus Siri 1/2024.

Pertandingan ini menawarkan beberapa kelainan jika dibandingkan dengan pertandingan teka silang kata yang lain kerana jawapan teka silang kata ini diambil daripada kata sukuan pelbagai etnik suku kaum utama di Sabah seperti Bajau Sama, Iranun, Kadazandusun, Rungus, Murut Tahol, dan bahasa harian di Sabah.

Penyertaan ini terbuka kepada individu yang berasal dari Sabah atau bukan warganegara Sabah tetapi menetap di Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan.

Para peserta dibenarkan merujuk sumber bahan terbitan DBP untuk menjawab teka silang kata ini seperti kamus terbitan DBP, poster Warta Bayu dan laman sesawang https://prpm.dbp.gov.my.

Setelah para peserta melengkapkan teka silang kata bahasa sukuan ini, mereka akan diminta untuk berswafoto dengan sebuah kamus daripada tiga buah kamus terbitan DBP, iaitu Kamus Bergambar Bahasa Kadazandusun–Bahasa Melayu (Edisi Murid Tahap 1), Kamus Dewan Perdana atau Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan, yang merupakan antara syarat utama pertandingan ini.

Pertandingan teka silang kata sukuan ini menawarkan hadiah wang tunai yang berjumlah RM850.00 secara keseluruhannya.

Para peserta hanya dibenarkan untuk menghantar satu penyertaan sahaja dan hendaklah melalui pautan yang berikut: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdS7g4i4wBvguvL6FWOBvpAqB4HNgcqlIWRvy5R0wPDxzE9mw/viewform

Pemenang akan dipilih berdasarkan jawapan yang tepat dan terpantas. Selain itu, setiap penyertaan akan diberi e-sijil dan tarikh tutup pertandingan teka silang kata bahasa sukuan ini ialah pada 29 Februari 2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.