22 Februari 2024, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manchester – Pertandingan Debat Intelektual Manchester Piala Pesuruhjaya Tinggi Malaysia 2024 Peringkat Akhir berlangsung semalam di The University of Manchester.

Pentas akhir debat ini menyaksikan dua buah pasukan yang membahaskan usul “Dewan Ini Percaya Diaspora Malaysia Patriotik” menemukan pasukan Ratus selaku pihak kerajaan, dan pasukan Nashamiy dari Jordan sebagai pembangkang.

Penganjuran pertandingan ini merupakan program kerjasama antara Kelab MyOrator UK dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada peringkat antarabangsa.

Keputusan 3–2 dengan margin tipis 1 membawa perbahasan ini berlangsung dalam suasana yang sengit antara kedua-dua pihak dan akhirnya menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan Ratus dari United Kingdom yang mencadangkan usul.

Pasukan Ratus diwakili oleh Amir Zulhadeef Zakaria, Yap Quan Loke dan Huzaifah Omar yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000.00, sumbangan DBP, manakala pasukan Yap Quan Loke pula dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik.

Sementara itu, naib juara, iaitu pasukan Nashamiy yang mewakili universiti dari negara Jordan diwakili oleh Solahuddin Al-Ayubi, Muhammad Adib Mohd Saulihin, Ahmad Nasih Ulwan dan Muhammad Ikhwan Mohamad Nafiah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.00 sumbangan DBP, manakala Pendebat Terbaik pada peringkat Separuh Akhir dipilih untuk meraih hadiah wang tunai bernilai RM2,000.00.

Pertandingan akhir dan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Intelektual Manchester 2024 ini dirasmikan oleh YBhg. Tuan Yang Terutama Dato’ Zakri Jaafar, iaitu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom.

YBhg. Dato’ Zakri dalam ucapannya menyentuh tentang kepentingan perbincangan ilmiah dalam kalangan belia yang seterusnya memacu pembinaan masyarakat Malaysia yang bertamadun selaras dengan visi Malaysia MADANI.

Pertandingan debat ini merupakan pertandingan debat bahasa Melayu terbesar yang melibatkan penyertaan pelajar Malaysia di luar negara. Pertandingan ini mula dianjurkan sejak tahun 2012.

Pada tahun ini, pertandingan ini dilaksanakan dengan penyertaan 16 buah pasukan debat  pelajar Malaysia dari negara Jordan, Perancis, Korea Selatan dan United Kingdom yang mewakili Kategori Debat Bahasa Melayu dan Kategori Debat Bahasa Inggeris.

Yang turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Hanafi Damanhuri, iaitu Pengarah Education Malaysia London; Encik Tariq Affendi Osman, iaitu Pegawai Penasihat Pendidikan dan Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam; Encik Noru Samsudin dan Pengarah MARA London.

Sesi perdebatan antara kedua-dua pasukan pada peringkat akhir.
Naib johan Kategori Bahasa Melayu dimenangi oleh pasukan Nashamiy.
Sesi bergambar kenangan para pemenang dan peserta pertandingan dengan para tetamu kehormat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.