Oleh Razid Sahran
22 Februari 2024, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Segamat Pasukan debat dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), selaku pihak kerajaan telah dinobatkan sebagai juara, sekali gus memenangi hadiah wang tunai yang berjumlah RM3,000.00.

Dengan usul perdebatannya, iaitu “Ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 Boleh Menangani Isu Pelarian di Malaysia”, pasukan ini berjaya menewaskan 16 pasukan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia.

Kejohanan Debat Hak Asasi Manusia ini yang bermula pada 18 Februari hingga 21 Februari 2024 diadakan di UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat, Johor.

Dalam kejohanan akhir tersebut, pasukan debat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh berada di tempat kedua dengan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM2,000.00.

Tempat ketiga pula dikongsi bersama oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dan Universiti Teknologi Petronas.

Sementara itu, Pendebat Terbaik Pusingan Liga dimenangi oleh Muhamad Alif Izzudin Azmale daripada UiTM Shah Alam, dan Pendebat Terbaik Pusingan Akhir pula dimenangi oleh Mohammad Marzuhaimie Marzuki daripada UPNM.

Kejohanan Debat Hak Asasi Manusia merupakan anjuran Kelab Debat dan Pidato UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat, dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS).

Majlis perasmian penutupan kejohanan ini disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, iaitu Pesuruhjaya SUHAKAM. Beliau menyeru agar masyarakat khususnya golongan muda memanfaatkan medium perantaraan dalam media sosial untuk memberikan pendapat atau pandangan tentang kaedah membela hak-hak asasi manusia dalam konteks isu semasa di negara ini.

Terdahulu, YBrs. Dr. Basaruddin Shah Basri, iaitu Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Johor dalam ucapan alu-aluan majlis perasmian penutupan program berkata,

Debat bukan menuntut kesempurnaan, sebaliknya menuntut kemajuan. Apabila kita percaya dengan kekuatan dan berani menempuh cabaran, kalah menang bukan lagi ukuran, sebaliknya kemahiran yang ditingkatkan itulah keutamaan.

Kejohanan ini diadakan bertujuan memberikan kesedaran kepada mahasiswa IPT agar lebih cakna akan isu semasa yang berkaitan dengan hak asasi manusia.

Pusingan Akhir Kejohanan Debat Hak Asasi Manusia.
YBhg. Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, iaitu Pesuruhjaya SUHAKAM ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan Kejohanan Debat Hak Asasi Manusia.
Para peserta dan ahli jawatankuasa Kejohanan Debat Hak Asasi Manusia bergambar bersama-sama tetamu kehormat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.