27 Februari 2024, 18:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Bangi – Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul Juara Festival Pantun antara Asasi Universiti Awam (FANTASI) 2024, pada pusingan akhir yang berlangsung di Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan mengalahkan 16 pasukan yang bertanding.

Kemenangan tersebut membolehkan UiTM membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai yang berjumlah RM2,500.00, sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Naib johan pula diraih oleh Universiti Malaya (UM) yang membawa pulang hadiah wang tunai yang berjumlah RM2,000.00, sumbangan DBP, manakala pemenang tempat ketiga disandang oleh Universiti Sains Islam Malaysia yang memperoleh hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.00.

Pemantun Terbaik Akhir pula menjadi milik Nurfarahin Afifah Radzuan dari UM.

Pertandingan akhir dan majlis perasmian penutupan pertandingan pula disempurnakan YBrs. Tuan Mohamed Asrof Semin, iaitu Pengarah Pusat Kebudayaan, yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM.

YBrs. Tuan Mohamed Asrof Semin dalam ucapan perasmian penutupan berkata, FANTASI bukan sekadar satu pertandingan pantun tetapi turut memberikan tumpuan kepada perkembangan kebolehan berbahasa Melayu, serta dapat meningkatkan kesedaran terhadap warisan tradisonal Melayu dalam kalangan generasi muda.

FANTASI memperlihatkan nilai murni melalui pelbagai tema yang dikemukakan dalam pertandingan. Pantun bukan sekadar menghiburkan tetapi juga memberikan pengajaran.

Sementara itu, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan alu-aluan berharap agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana para pelajar juga perlu dibijaksanakan dan dihaluskan budi bahasa mereka melalui kecanggihan pantun itu sendiri.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Laili Haji Che Rose, iaitu Pengarah Majlis Asasi Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam; YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP; YBrs. Tuan Haji Mohd Yusof Samad, iaitu Timbalan Pengarah Sektor Akademik, Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia, dan YBrs. Encik Mohd Hakimie Zainal Abidin, iaitu Timbalan Pengarah Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM.

FANTASI yang memasuki penganjuran kali ketiga ini telah bermula pada 25 Februari yang lalu dan dianjurkan oleh Majlis Asasi Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam dengan kerjasama UKM, DBP dan Institut Alam dan Tamadun Melayu.

Program ini juga secara tidak langsung dapat mendedahkan para pelajar kepada keindahan, kehalusan dan keunikan pantun agar mereka dapat berbangga dengan bahasa dan persuratan Melayu, serta dapat mewarisi tinggalan budaya ini supaya tidak pupus dek arus kemodenan dunia.

Naib johan disandang oleh Universiti Malaya.
Naib johan disandang oleh pasukan dari UM.
YBrs. Tuan Mohamed Asrof Semin, Pengarah Pusat Kebudayaan, mewakili Timbalan Naib Canselor hal Ehwal pelajar dan Alumni, UKM.
Antara barisan tetamu kehormat dan para hadirin yang menyaksikan pusingan akhir Festival Pantun antara Asasi Universiti Awam (FANTASI) 2024.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.