Oleh G. Manimaran
27 Februari 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYYM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan bahawa hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi pada hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain.

Sehubungan dengan itu, baginda bertitah, kerajaan perlu merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi pada hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain.

Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

Baginda menzahirkan perkara itu ketika bertitah merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, semalam.

Titah ini merupakan titah sulung sejak baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Memetik pepatah Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami, titah baginda, “Kita mesti membentuk mereka sejak anak kecil”.

“Saya juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R (kaum, agama dan raja),” titah Sultan Ibrahim.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga bertitah, setiap rakyat sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang utama negara yang mesti dihormati.

“Ini hasil daripada persetujuan Raja-raja Melayu untuk membentuk Persekutuan dan memberikan punca kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang,” titah baginda sambil menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan akan terus kekal dipelihara.

“Namun begitu, agama lain masih dibenarkan untuk diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba memutarbelitkan atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini,” tegas baginda.

Yang turut berangkat ke istiadat semalam ialah Kebawah DYYM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.