28 Februari 2024, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah meluaskan lagi bentuk kerjasama dengan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) dengan merancang untuk menerbitkan kamus bahasa sukuan Iranun.

Rombongan tersebut diketuai oleh Timbalan Presiden Persatuan BKI, Puan Masmujahidah Haji Masrin; Setiausaha Agung Persatuan BKI, Encik Mabulmaddin Shaiddin; Naib Presiden Persatuan BKI, Encik Haji Masdin Saibin; dan Biro Penerangan Persatuan BKI, Encik Abd Naddin Shaiddin berbincang di Balai Bagaton, baru-baru ini.

Perbincangan antara pihak DBP Cawangan Sabah dengan Persatuan BKI.

Menurut Pengarah DBP Cawangan Sabah, YBrs. Puan Aminah Awang Basar, DBP sentiasa membuka ruang dan peluang kepada mana-mana pihak yang mempunyai hasrat dan matlamat yang seiring dengan misi dan visi DBP.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar kerjasama sedia ada dengan Persatuan BKI semakin utuh dan berterusan pada tahun akan datang.

Menerusi pertemuan tersebut, Persatuan BKI yang diwakili oleh Puan Masmujahidah berhasrat untuk menerbitkan kamus bahasa sukuan Iranun untuk kegunaan generasi Iranun pada masa akan datang agar penutur bahasa Iranun semakin berkembang dan kekal walaupun mengalami pelbagai asimilasi budaya dan peralihan zaman.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan BKI, iaitu Encik Mabulmaddin Shaiddin turut menambah bahawasanya buat masa ini, mereka memerlukan panduan dan sokongan untuk mengumpul entri daripada DBP, khususnya DBP Cawangan Sabah kerana bahasa sukuan Iranun dikatakan agak kompleks.

Dalam pertemuan tersebut, Puan Aminah turut mencadangkan agar satu seminar mini diadakan untuk membicarakan perihal budaya dan bahasa sukuan Iranun dengan mengundang penulis dan penyelidik yang pernah menulis berkenaan dengan suku Iranun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.