28 Februari 2024, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur “Kita harus yakin dan terus yakin dengan kewibawaan bahasa Melayu memacu pembinaan negara bangsa.”

Demikian antara inti ucapan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan wacana yang bertajuk “Bahasa Kebangsaan Tanggungjawab Kita” dalam Wacana Penegasan Bahasa Kebangsaan Bil. 1/2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi tadi.

Tegas beliau,

Seperti bahasa moden yang lain, misalnya bahasa Inggeris, bahasa Melayu mampu menangani segala macam tuntutan budaya moden semasa, khususnya dari segi gaya tatabahasa, peristilahan dalam bentuk tulisan dan lisan.

Tambah beliau, “Kita tidak harus bersikap kerdil diri, sebaliknya menanam sikap megah bahasa apabila berkomunikasi dalam bahasa Melayu, dan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi, khususnya di institut pendidikan tinggi awam”.

“Bahasa bukan semata-mata penentu kejayaan sesebuah tamadun bangsa, sebaliknya kesepaduan penguasaaan ilmu dan penerapan nilai jati diri kebangsaan merupakan tonggak utama kejayaan sesuatu bangsa itu,” jelas beliau.

YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika berucap dalam Wacana Penegasan Bahasa Kebangsaan Bil. 1/2024 pada pagi tadi.

Sementara itu, segmen Canai Bahasa dan Sastera: Kerancuan Bahasa di Tempat Awam pula menampilkan dua orang ahli panel yang berpengalaman, iaitu Encik Mohammed Zakir Husin Mohammed Zahid (Pengarah Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Kuala Selangor) dan Encik Mohammad Fazril Mohd Saleh (Naib Presiden ABIM), serta Encik Abdul Ghani Abu (Ketua Bahagian Perkamusan, DBP), selaku moderator.

Menerusi segmen Canai Bahasa dan Sastera, Encik Mohammed Zakir Husin Mohammed Zahid menyatakan bahawa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewajibkan semua paparan iklan mestilah mendapatkan pengesahan daripada pihak DBP terlebih dahulu sebelum diluluskan.

Ujarnya lagi,

Kita memang jelas menggariskan dan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan ini hendaklah diberi keutamaan. Sekiranya hendak dicampurkan dengan bahasa lain, bahasa Melayu hendaklah diletakkan di tempat yang paling utama.

Pengarah Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Encik Mohammed Zakir Husin Mohammed Zahid.
Naib Presiden ABIM, Encik Mohammad Fazril Mohd Saleh.

Naib Presiden ABIM, Encik Mohammad Fazril Mohd Saleh pula menyatakan bahawa generasi muda mestilah diberi kesedaran tentang kepentingan berbahasa Melayu dengan baik.

Beri kesedaran dan contoh kepada generasi muda bahawa bahasa Melayu, kebudayaannya, elemen persuratan, ada nilai-nilai penting sosial, ekonomi, dan kemajuan.

Beliau turut menegaskan bahawa apabila bahasa itu tidak menjadi sesuatu yang bernilai kerana dirancukan atau dicampuradukkan dengan bahasa lain sehingga tidak menunjukkan keindahannya, maka perkara ini harus dibetulkan.

Tambah beliau,

Generasi muda, ayuh kita jadi orang kaya. Jadi orang kaya, jadi orang berbahasa, kaya jiwa, kaya harta. Barulah orang melihat kita dan itu strategi yang paling ampuh untuk pastikan kita dipandang tinggi, dipandang mulia, kita dipandang sebagai kiblat kepada kemajuan tamadun bangsa ini.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir dalam program tersebut termasuklah YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat (Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP), YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP), YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan (Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia) dan YBrs. Puan Roziah Md Yunus (Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.