29 Februari 2024, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan (ATBMSP) merupakan anugerah yang diwujudkan mulai tahun 2020 untuk menghargai sumbangan dan usaha warga sektor pendidikan dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) telah menjemput Timbalan Pengarah Sektor Bahasa dan Kesusasteraan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Puan Sarina Salim dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang bersiaran semalam.

Puan Sarina Salim memaklumkan bahawa anugerah ini merupakan satu daripada enam strategi pemartabatan bahasa kebangsaan dalam sektor pendidikan dan pengiktirafan kepada para pejuang bahasa Melayu dalam kalangan warga sektor pendidikan di negara ini.

Ujarnya,

Ada dalam kalangan warga sektor pendidikan yang memiliki karya dan penulisan dalam bahasa Melayu dan anugerah ini dapat mengetengahkan kehebatan mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, tambahnya lagi, Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan (JKKPBKSP) mempelawa warga pendidik di seluruh negara mengajukan permohonan ATBMSP tahun 2024.

KPM juga telah memperkenalkan satu kriteria baharu di bawah ATBMSP, iaitu Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Kategori Teknikal dan Vokasional (ATBMKTV) mulai tahun 2022.

“Kedua-dua anugerah ini terbuka kepada warga sektor pendidikan, iaitu Institusi Pendidikan KPM, Maktab Rendah Sains MARA, sekolah swasta, tadika swasta, Tabika Perpaduan, dan Taska Genius Perpaduan yang menggunakan kurikulum kebangsaan,” jelasnya lagi.

Beliau turut memaklumkan permohonan tersebut kepada semua warga pendidik tanpa mengira disiplin ilmu tetapi karya atau penulisan mereka mestilah dalam bahasa Melayu yang digunakan untuk berkongsi maklumat dan ilmu.

“Pencalonan bagi ATBMSP 2024 masih dibuka hingga 31 Mac ini dan diharapkan lebih banyak warga pendidik mengambil peluang tersebut,” katanya.

Beliau juga menasihatkan warga pendidik yang ingin menghantar pencalonan untuk menyemak segala dokumen yang diperlukan kerana banyak permohonan sebelum ini ditolak berikutan penghantaran dokumen yang tidak lengkap.

Di samping itu, terdapat tiga saringan dalam ATBMSP ini, iaitu saringan pertama yang melibatkan saringan dokumen pencalonan yang diterima, saringan kedua pula melibatkan pegawai kanan KPM, dan pegawai yang berwibawa dalam bahasa Melayu, seperti pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, dan saringan ketiga, iaitu yang terakhir melibatkan pengurusan tertinggi KPM.

Puan Sarina Salim berharap agar warga pendidik terus menghasilkan karya dan penulisan dalam bahasa Melayu hingga ke peringkat antarabangsa yang seterusnya menjadikan bahasa Melayu dicintai oleh segenap lapisan masyarakat.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai ATBMSP, warga pendidik bolehlah melayari portal dan laman media sosial KPM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.