29 Februari 2024, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur “Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dan Perbadanan Kota Buku (PKB) beriltizam untuk memartabatkan bahasa Melayu.”
Demikian kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini yang selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang bertitah dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas pada 26 Februari 2024 yang lalu.
Menurut DBP,  hal ini bersesuaian dengan prinsip “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”, kekhuatiran dan kegusaran yang dizahirkan dalam titah Baginda berhubung dengan isu perpaduan yang masih belum utuh kerana bahasa kebangsaan belum dikuasai sepenuhnya dan toleransi silang budaya belum kukuh dalam kalangan rakyat jelas memperlihatkan kepedulian Baginda terhadap rakyat jelata dan negara.
Titah nasihat serta keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap perpaduan seluruh rakyat merupakan keutamaan yang pada hemat Baginda mestilah menjadi gagasan utama negara dalam menciptakan keharmonian dan perpaduan nusa, demi kesejahteraan hidup bersama.
Dalam kenyataan yang sama, DBP, MBKM, ITBM dan PKB sebagai agensi dan badan pelaksana, beriltizam dan bertekad untuk bersama-sama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu selaras dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] dan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).
Tambah agensi-agensi terbabit, hikmah kebijaksanaan KDYMM Tuanku dalam menzahirkan pandangan yang berlandaskan prinsip “melentur buluh biarlah dari rebungnya” menjadi perintah yang sedang dan akan diusahakan bersama-sama, khasnya dalam memastikan benih-benih perpaduan dalam diri setiap anak-anak kecil di watan ini terus disirami dan dibajai sehingga membentuk bangsa yang bersatu padu menunjangi negara MADANI.
Kami memahami hasrat KDYMM Tuanku yang secara implisit menitahkan agar rakyat mempertahankan empat pancang kenegaraan merangkumi wibawa Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, serta hak sah kaum lain serta kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu bagi memastikan jati diri bangsa Malaysia dan legasi negara diperkasakan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.