4 Mac 2024, 18:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) mengadakan lawatan ilmiah ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur pada hari ini dalam usaha untuk menyemarakkan budaya penulisan dan penerbitan dalam bahasa Melayu.

Rombongan ini diketuai oleh Pengarah IPGKBM, iaitu YBrs. Dr. Masitah Mohammad Yusof, yang turut disertai oleh Ketua Jabatan Jabatan Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi (JPPI), iaitu YBrs. Dr. Roslina Suratnu dan para pensyarah, serta staf dan pelajar dari Universiti Prince of Songkhla, Pattani, Thailand.

Lawatan ini dianjurkan oleh JPPI yang antara lainnya bertujuan meningkatkan keupayaan penulisan dan penerbitan dalam kalangan pensyarah, meningkatkan minat dalam penulisan kreatif yang merangkumi pelbagai gaya penulisan di samping menyemarakkan budaya penulisan dan penerbitan dalam bahasa Melayu kepada warga IPGKBM.

Dalam pertemuan tersebut, Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP, iaitu YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP, iaitu YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, selain menjalinkan hubungan baik antara DBP dengan IPGKBM, lawatan ini penting dalam usaha menggalakkan penulisan dan penerbitan dalam bahasa Melayu.

Sementara itu, Encik. Mohd Syukri Anwar, editor dari Bahagian Majalah berkongsi maklumat berkenaan dengan penerbitan 11 majalah bercetak dan lapan majalah digital termasuklah majalah Dewan Bahasa yang merangkumi ruangan Berita, Bicara Bahasa, Cemerlang Bahasa, Tanya Munsyi dan Cetusan Minda.

Taklimat Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja yang dikendalikan oleh Puan Siti Masni Kospin pula mendedahkan para peserta dengan pelaksanaan pembinaan penulis, penilai, penyunting, pereka bentuk dan pelukis buku kanak-kanak dan remaja.

Puan Zawinnajah Md Kaslan yang mewakili Bahagian Buku Umum pula berkongsi maklumat tentang peranan yang dimainkan oleh bahagiannya dalam membina, memperkaya dan menyediakan bahan bacaan secara informatif serta menyediakan bahan rujukan yang bermutu dalam bidang sains dan teknologi, sains sosial, sains kemanusiaan dan agama, terutamanya dalam bahasa Melayu.

Sesi taklimat terakhir oleh Puan Mazfarina Marzuki dari Bahagian Harta Intelek pula memberi penekanan kepada perlindungan harta intelek penulis melalui perkhidmatan dalam urusan yang berkaitan dengan hak cipta, perjanjian lesen penerbitan dan pembayaran royalti.

Hasil perkongsian maklumat dan ilmu yang disampaikan oleh pihak DBP tersebut membuat para peserta berasa sangat teruja khususnya mereka yang berminat dalam bidang penulisan dan penerbitan artikel serta buku cerita kanak-kanak.

Seorang daripada peserta lawatan tersebut, iaitu Munsyi Dewan (Sastera), Encik Maniyamin Ibrahim berpendapat, sesi lawatan ini amat berinformatif dan DBP harus meneruskan usahanya untuk menganjurkan lebih banyak program sebegini pada masa depan.

 

Rombongan lawatan IPGKBM ke DBP.
Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP, iaitu YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa semasa berucap mewakili Ketua Pengarah DBP.
Encik Mohd Syukri Anwar, editor dari Bahagian Majalah memberikan taklimat mengenai penerbitan majalah.
Puan Siti Masni Kospin, iaitu editor dari Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja.

Puan Zawinnajah Md Kaslan, editor dari  Bahagian Buku Umum.
Puan Mazfarina Marzuki dari Bahagian Harta Intelek.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.