5 Mac 2024, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – “Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sentiasa memberikan galakan dan sokongan kepada para pengiklan atau pemaju agar menonjolkan citra tempatan melalui paparan di tempat awam khususnya di kawasan tumpuan pelancong di bandar raya Kota Kinabalu, Sabah.”

Demikian penegasan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Kewangan), DBKK, Sabah, iaitu YBrs. Encik Wong Nyuk Leong@Lifred Taliban  ketika menjadi panel undangan sesi Wacana Segar Bahasa, yang membincangkan tajuk “Penggunaan Bahasa Kebangsaan yang Bermutu di Tempat Awam”.

Melalui pendekatan ini, usaha memperkasakan bahasa kebangsaan akan terus diperkukuh bagi melahirkan warga kota yang bersemangat patriotik dan bangga terhadap negara.

Program “Seminar Memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam Iklan” bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-24 Bandaraya Kota Kinabalu ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dan Bahagian Penguatkuasaan, DBP dengan kerjasama DBKK.

Program ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu Taklimat Penguatkuasaan Bahasa dan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam dan Wacana Segar Bahasa yang membincangkan tajuk “Penggunaan Bahasa Kebangsaan yang Bermutu di Tempat Awam”.

Selain YBrs. Encik Wong Nyuk Leong@Lifred Taliban, dua orang ahli panel wacana yang diundang ialah YBrs. Tuan Haji Yusof Osman (penulis iklan bebas) dan YBrs. Encik Hasanul Isyraf Mohammad, iaitu Perancang Bahasa dari Bahagian Penguatkuasaan, DBP. YBrs. Encik Nadin Saleh (mantan Timbalan Pengarah, DBP Cawangan Sabah) pula bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Timbalan Pengarah II, DBP Cawangan Sabah, iaitu Puan Jennitah Noordin yang mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah, iaitu YBrs. Puan Aminah Awang Basar menerusi ucapan penghargaan dalam majlis penutupan berkata,

 

Penganjuran program ini membuktikan iltizam DBP untuk terus memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan negara ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, serta tuntutan yang dicatatkan dalam wasiat Raja-Raja Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957 yang berbunyi, “Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Ujar beliau, seiring dengan perlembagaan tersebut, bahasa Melayu seharusnya digunakan dalam pelbagai konteks, lebih-lebih lagi dalam urusan rasmi.

Tambahnya lagi, DBP Cawangan Sabah juga akan memberikan sokongan penuh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri Sabah, termasuklah Wilayah Persekutuan Labuan terhadap usaha membentuk sikap positif terhadap bahasa kebangsaan dan peluasan penggunaannya dalam semua sektor, khususnya pada paparan di tempat awam.

Secara umumnya, program ini diadakan untuk memperteguh sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan agar penggunaan bahasa Melayu secara meluas diyakini mampu membentuk jati diri bangsa yang kukuh.

Semangat cinta akan bahasa kebangsaan ini juga berupaya mencerminkan identiti masyarakat yang bergelar warganegara Malaysia.

Program ini dihadiri oleh peserta dari PBT di seluruh negeri Sabah, para pengiklan dan pemaju di sekitar Kota Kinabalu.

Taklimat Penguatkuasaan Bahasa disampaikan oleh YBrs. Encik Hasanul Isyraf Mohammad, iaitu Perancang Bahasa, Bahagian Penguatkuasaan, DBP.
Penyampaian cenderamata kepada panel forum oleh YBrs. Puan Jennitah Noordin (Timbalan Pengarah II, DBP Cawangan Sabah), yang mewakili YBrs. Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sabah.
Tetamu kehormat dan ahli panel bergambar kenangan bersama-sama peserta seminar.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.