10 Mac 2024, 22:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – “Usaha yang bersepadu dan berterusan perlu untuk pemartabatan bahasa Melayu dalam bidang profesional dan kehakiman, secara khususnya. Usaha yang berterusan ini diharapkan berupaya untuk mencari pelapis seperti Abdullah Munsyi dalam memperjuangkan nahu dan nasib bahasa Melayu.”

Demikian menurut Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Dzulkifli Abdul Razak dalam Majlis Penutupan Pertandingan Penghujahan Mahkamah Peringkat Kebangsaan 2024 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Bahasa Melayu Majlis Peguam Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang berlangsung di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM, hari ini.

Pertandingan penghujahan yang memasuki edisi kelima ini dilaksanakan bagi melatih dan mengasah bakat para peguam muda, pelatih dalam kamar serta pelajar undang-undang di universiti awam dan institusi pendidikan swasta dalam usaha meningkatkan penguasaan seni berbicara dalam bahasa Melayu, khususnya di dalam mahkamah yang sebenar.

Suasana ketika sesi pertandingan penghujahan berlangsung.

Majlis perasmian penutupan pertandingan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, YBrs. Tuan Mohamad Ezri Abdul Wahab.

“Program ini merupakan satu daripada medium bagi melatih peserta untuk meningkatkan penguasaan seni advokasi dalam bahasa Melayu,” ujar YBrs. Tuan Mohamad Ezri dalam ucapan perasmiannya.

Sementara itu, pada pusingan akhir pertandingan tersebut, Universiti Sultan Zainal Abidin menjuarai Pertandingan Penghujahan Mahkamah bagi Kategori Pelajar Prasiswazah Undang-undang, manakala Jawatankuasa Badan Peguam Selangor menjuarai Kategori Pelatih dalam Kamar dan Peguam Muda.

Juara Pertandingan Penghujahan Mahkamah bagi Kategori Pelajar Prasiswazah Undang-undang membawa pulang wang tunai RM 3000.00, sebuah trofi dan piala pusingan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP, dan Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia, Yang Arif Puan Evrol Mariette Peters.

Antara barisan tetamu kehormat yang hadir dalam majlis tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.