14 Mac 2024, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang bakal berlangsung pada 26 Mac dan 27 Mac 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur akan menghimpunkan para penerbit buku bercetak dan digital di negara ini bagi membincangkan isu terkini dalam penerbitan buku.

Seminar ini juga merupakan satu pertemuan yang bersifat kebangsaan dan akan dihadiri oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menyampaikan ucaptama pada hari pertama, sementara Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek pula akan menyampaikan ucaptama pada hari kedua.

Seminar anjuran DBP selama dua hari ini juga akan membincangkan hal yang berkaitan dengan hak cipta.

Demikian antara penerangan yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP, iaitu YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa semasa menjadi tetamu dalam rancangan Cakna Bahasa, anjuran BERNAMA RADIO, petang tadi.

Jelas beliau,

DBP akan menganjurkan seminar ini sebagai satu usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan hal ini selaras dengan peranan DBP sebagai badan penerbitan utama di negara ini,

Tambah beliau, seminar ini nanti akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pembentangan 15 kertas kerja, forum, jualan buku oleh beberapa penerbit dan sesi perbincangan meja bulat yang akan diadakan secara tertutup bersama-sama pihak tertentu yang dijemput.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam slot Cakna Bahasa kelolaan penyampainya, Encik Arief Muhammad dan Puan Natasha Aimee, di BERNAMA RADIO.

Menurut beliau, seminar ini juga akan diadakan untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh para penerbit dalam industri penerbitan terutamanya dalam penerbitan bahan bercetak dan DBP turut yakin bahawa cadangan penyelesaian akan diperoleh daripada para peserta yang terdiri daripada pelbagai pihak yang terlibat dalam industri ini.

“Kali terakhir seminar yang bersifat kebangsaan seperti ini diadakan ialah pada 25 April  dan 26 April 2015, iaitu bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun yang sama,” jelas beliau lagi.

Beliau menyatakan bahawa dua majlis pelancaran buku yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan akan turut berlangsung pada seminar tersebut.

Selain Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu, DBP juga akan menganjurkan program Hadiah Sastera Perdana Malaysia dalam merancakkan lagi industri penerbitan buku negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.