18 Mac 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berita baik buat pencinta buku dan bahasa! Satu seminar kebangsaan, iaitu Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Umum dan Bahagian Harta Intelek akan diadakan pada 26 Mac 2024 dan 27 Mac 2024 ini.

Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu ini akan bermula pada pukul 8.00 pagi, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Dengan tema “Memperkasakan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu”, seminar yang akan diadakan selama dua hari ini akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga akan menyampaikan ucaptama pada hari pertama seminar, sementara Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek pula akan menyampaikan ucaptama pada hari kedua.

Sementara itu, Sesi Dialog Meja Bulat dengan Penulis Berkaitan Isu Hak Cipta pula akan diadakan pada 29 Mac 2024 (Jumaat), iaitu pada pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP.

DBP melalui penganjuran seminar ini bermatlamat untuk menghimpunkan para penerbit buku bercetak dan digital bagi membincangkan isu terkini dunia penerbitan, termasuklah isu hak cipta dalam satu pertemuan yang bersifat kebangsaan.

Selain itu, seminar ini dilaksanakan bagi menyokong usaha DBP dalam memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan selaras dengan peranan DBP sebagai badan penerbitan utama negara yang berperanan penting dalam memandaikan masyarakat melalui penerbitan buku yang berkualiti.

Para peserta yang menghadiri seminar ini berpeluang untuk mengenal pasti cabaran dan cadangan penyelesaian dalam industri penerbitan yang dihadapi oleh para penerbit dalam usaha menerbitkan bahan bercetak dan digital dalam bahasa Melayu bagi memperkasakan penerbitan buku berbahasa Melayu.

Selain itu, antara objektif penganjuran seminar ini termasuklah untuk membuka ruang kepada semua pihak, khususnya pemain industri yang terlibat dalam bidang penerbitan bertukar-tukar fikiran dan pandangan terhadap perkembangan dunia penerbitan di Malaysia.

Peserta seminar juga berpeluang mengenal pasti cabaran dan cadangan penyelesaian dalam industri penerbitan yang dihadapi oleh para penerbit dalam usaha menerbitkan bahan bercetak dan digital dalam bahasa Melayu bagi memperkasakan penerbitan buku berbahasa Melayu.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk sama-sama menyertai seminar ini secara percuma. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, mereka yang berminat bolehlah menghubungi Puan Niarwati Jepon melalui talian telefon 03-21479433 atau menerusi e-mel, iaitu [email protected] atau Puan Nurul Fateen Ulfa Abdul Rani melalui talian telefon 03-2147 9426 ([email protected]) atau Puan Azilah Bahadun melalui talian telefon 03-2147 9453 ([email protected]).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.