20 Mac 2024, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyuarakan hasratnya untuk menjalinkan kerjasama penerbitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam sesi lawatannya ke gedung ilmu ini, pagi tadi.

Hasrat tersebut disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Liew Hon Jung, Ketua Delegasi UMT menerusi ucapannya di Bilik Mesyuarat, Aras 4, Wisma DBP.

Menurut beliau, “Kami ingin menjalinkan kerjasama yang lebih tinggi antara kedua-dua institusi.”

YBrs. Prof. Madya Dr. Liew Hon Jung, Ketua Delegasi UMT menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan DBP.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP, iaitu YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, kerjasama penerbitan ini bukanlah perkara baharu antara DBP dengan UMT. 

Jelas beliau,

Pihak DBP pernah menjalinkan kerjasama dengan UMT sebelum ini dan ketika itu membina istilah yang berkaitan dengan perikanan.

YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP mengalu-alukan kerjasama penerbitan dengan UMT.

Sebagai panduan awal untuk kerjasama yang akan dijalankan ini, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa menekankan beberapa aspek penting sebelum penulis memulakan penulisannya.

Menurut beliau,

Penulis perlu memfokuskan perkara yang ingin diperkatakan dan mengenal pasti pembaca sasaran.

Dari segi strategi penulisan manuskrip pula, beliau menegaskan,

Jangan masukkan semua perkara dalam satu buku, tetapi bahagikannya kepada beberapa judul.

Pesanan tersebut merupakan antara beberapa perkara penting yang dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan DBP ini sebelum majlis diteruskan dengan sesi taklimat oleh enam orang pegawai DBP.

Dalam sesi taklimat seterusnya, Encik Mohd Syukri Anwar (Editor Kanan Bahagian Majalah), Puan Siti Masni Kospin (Editor Kanan Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja) dan Puan Zawinnajah Md Kaslan (Editor Kanan Bahagian Buku Umum) berkongsi tentang proses penerbitan majalah bercetak dan e-majalah, jurnal, buku umum, dan buku kanak-kanak dan remaja.

Sementara itu, Puan Mazfarina Marzuki (Pegawai Kanan Bahagian Harta Intelek) pula berkongsi tentang hak cipta dan royalti, manakala Encik Shah Rizal Azwan Ghazali (Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan) menerangkan tentang aspek teknikal mengenai buku.

Akhir sekali, Puan Fairuz Yaakob (Pegawai Tadbir Bahagian Pemasaran dan Pengedaran) menerangkan strategi jualan produk DBP dan kedai buku DBP.

Ketika sesi taklimat sedang berlangsung, tujuh orang delegasi UMT yang terdiri daripada pensyarah dan pegawai penerbitan memanfaatkan peluang untuk bertanya pelbagai soalan, seperti honorarium, royalti, kesesuaian tajuk, penggunaan istilah dalam bahasa Melayu dan penentuan karya asli.

Cik Rabil Sitta Abdul Rahman bertanyakan soalan ketika sesi taklimat sedang berlangsung.

Lawatan tersebut berakhir pada pukul 1.00 tengah hari tadi dan diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata antara kedua-dua belah pihak.

DBP dan UMT saling bertukar cenderamata.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.