26 Mac 2024, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof dan Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – “Minat membaca dalam kalangan anak-anak muda perlu dipandu dan dididik untuk menanam rasa kecintaan terhadap ilmu yang lebih mendalam dalam kalangan mereka.

Oleh itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu lebih kerap mengadakan majlis yang menggalakkan anak-anak muda ini untuk membaca.”

Demikian antara inti pati ucap utama oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada tengah hari ini.

Menurut YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ruang untuk seorang pengkarya berkarya secara bebas mesti diberikan.

Menurut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, seseorang penulis atau pengkarya perlu diberi ruang yang banyak untuk menjadi seorang pengkarya yang berfikiran kritis.

“Karya sastera contohnya, merupakan curahan hati seorang pengarang atau sasterawan. Namun begitu, disebabkan curahan sasterawan hanya boleh diukur dalam ruang yang sangat terbatas, maka itu keupayaannya mencurahkan pemikiran yang bebas terasa terkongkong. Oleh sebab itu, ruang untuk seorang pengkarya berkarya secara bebas mesti diberikan,” jelas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tambah beliau,

Karya akan terbantut jika pengkarya terkongkong. Hal ini disebabkan oleh ruang berfikir dan berkarya menuntut suatu suasana berfikiran yang lebih meluas.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd. Anuar Haji Rethwan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pula berkata bahawa budaya membaca dalam masyarakat seharusnya semakin mantap, sejajar dengan kemajuan teknologi dalam bidang penerbitan dan pemasaran.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd. Anuar Haji Rethwan menyatakan bahawa majoriti rakyat harus memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.

Tambah beliau,

Budaya membaca harus merentas semua golongan, kanak-kanak, remaja, dan dewasa, serta gender. Harus wujud juga neraca keseimbangan pembacaan antara gender agar hala tuju pemikiran dan peradaban kita membentuk keserasiannya. Untuk menjadi sebuah negara maju, majoriti rakyat harus memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.

Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu anjuran DBP ini mengangkat tema “Memajukan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu”.

Seminar ini diadakan untuk menghimpunkan para penerbit buku bercetak dan digital bagi membincangkan isu terkini dunia penerbitan termasuklah isu hak cipta dalam satu pertemuan bersifat kebangsaan.

Selain itu, seminar ini juga diadakan bagi mengenal pasti cabaran dan cadangan penyelesaian bagi industri penerbitan yang dihadapi oleh para penerbit dalam usaha menerbitkan bahan bercetak dan digital berbahasa Melayu. Hal ini bagi memperkasakan penerbitan buku berbahasa Melayu.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Haji Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan; para Sasterawan Negara, Ketua-ketua Jabatan dan Bahagian DBP dan tetamu kehormat lain.

YAB Perdana Menteri dan tetamu kehormat bergambar kenangan bersempena dengan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu anjuran DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.