Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAyat songsang ialah ayat yang mengalami pendepanan seluruh predikat atau sebahagian daripada predikat ayat. Bagi pendepanan sebahagian daripada predikat, hal ini melibatkan pendepanan sebahagian daripada predikat frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:
Pendepanan Sebahagian daripada Predikat Frasa Kerja
1a. Dia belajar pada awal pagi. +KKTT
1b. Belajar dia pada awal pagi. Tanpa frasa keterangan
2a. Dia bekerja sampai letih. +KKTT
2b. Bekerja dia sampai letih. Tanpa klausa keterangan
3a. Dia menanam bunga di halaman rumahnya. +KKT + objek
3b. Menanam bunga dia di halaman rumahnya. Tanpa frasa keterangan
4a. Dia menjadi guru kini. +KKTT + pelengkap
4b. Menjadi guru dia kini. Tanpa adverba
5a. Dia berseluar jean pada hari ini. +KKTT + penerang
5b. Berseluar jean dia pada hari ini. Tanpa frasa keterangan
6a. Dia bermain muzik di biliknya. +KKTT + keterangan
6b. Bermain muzik dia di biliknya. Tanpa frasa keterangan
7a. Dia sedang belajar di sekolah. +KKTT + kata bantu
7b. Sedang belajar dia di sekolah. Tanpa frasa keterangan
8a. Dia mahu balik ke negara asal. +KKTT + kata bantu
8b. Mahu balik dia ke negara asal. Tanpa frasa keterangan
9a. Dia datang lewat ke mesyuarat. +KKTT + adverba
9b. Datang lewat dia ke mesyuarat. Tanpa frasa keterangan
9c. Lewat datang dia ke mesyuarat. Tanpa frasa keterangan
10a. Dia selalu datang lewat ke pejabat. +KKTT + 2 adverba
10b. Selalu datang lewat dia ke pejabat. Tanpa frasa keterangan
10c. Selalu lewat datang dia ke pejabat. Tanpa frasa keterangan
10d. Datang lewat selalu dia ke pejabat. Tanpa frasa keterangan
11a. Dia tidak berusaha sampai hari ini. +KKTT + kata nafi
11b. Tidak berusaha dia sampai hari ini. Tanpa frasa keterangan
12a. Dia sangat memerlukan bantuan selepas dia jatuh sakit. +KKT + objek +penguat
12b. Sangat memerlukan bantuan dia selepas dia jatuh sakit. Tanpa frasa keterangan
Catatan:
KKT – kata kerja transitif
KKTT – kata kerja tak transitif
Dalam ayat 1b, kata kerja belajar dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan pada waktu pagi. Dalam ayat 2b, kata kerja bekerja dikedepankan tanpa diikuti klausa keterangan sampai (dia) letih. Dalam ayat 3b, kata kerja menanam dan objek bunga dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan di halaman rumahnya. Dalam ayat 4b, kata kerja tak transitif menjadi dan pelengkap kata nama guru dikedepankan tanpa diikuti oleh kata adverba kini. Dalam ayat 5b, kata kerja tak transitif berseluar dengan penerang kata dasarnya jean dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan pada hari ini.
Dalam ayat 6b, kata kerja tak transitif bermain dan kata keterangan muzik dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan di biliknya. Dalam ayat 7b, kata kerja belajar dan kata bantu aspek sedang dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan di sekolah. Dalam ayat 8b, kata kerja balik dan kata bantu ragam mahu dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan ke negara asalnya. Dalam ayat 9b dan 9c, kata kerja datang dan kata adverba lewat dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan ke mesyuarat. Dalam ayat 10b, 10c dan 10d, kata kerja datang, kata adverba lewat dan kata adverba selalu dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan ke pejabat.
Dalam ayat 11b, kata kerja berusaha dan kata nafi tidak dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan sampai hari ini. Dalam ayat 12b, kata kerja transitif memerlukan dengan objek bantuan dan kata penguat sangat dikedepankan tanpa diikuti klausa keterangan selepas dia jatuh sakit.
Pendepanan Sebahagian daripada Predikat Frasa Adjektif
13a. Dia masih yakin dengan kebolehannya. KA + kata bantu
13b. Masih yakin dia dengan kebolehannya. Tanpa frasa keterangan
14a. Dia tidak yakin hingga kini. KA + kata nafi
14b. Tidak yakin dia hingga kini. Tanpa frasa keterangan
15a. Dia sangat sedih sekarang. KA + penguat
15b. Sangat sedih dia sekarang. Tanpa adverba
Catatan:
KA – Kata adjektif
Dalam ayat 13b, kata adjektif yakin dengan kata bantu aspek masih dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan pada waktu pagi. Dalam ayat 14b, kata adjektif yakin dan kata nafi tidak dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa keterangan hingga kini. Dalam ayat 15b, kata adjektif sedih dan kata penguat sangat dikedepankan tanpa diikuti oleh kata nama adverba sekarang.
Pendepanan Sebahagian daripada Predikat Frasa Sendi Nama
16a. Dia ke kampung pada waktu cuti. FS predikat
16b. Ke kampung dia pada waktu cuti. Tanpa frasa keterangan
16c. Pada waktu cuti dia ke kampung. Tanpa FS predikat
Catatan:
FS – Frasa sendi nama
Dalam ayat 16b, frasa sendi nama predikat utama ke kampung dikedepankan tanpa diikuti oleh frasa sendi nama yang berfungsi sebagai frasa keterangan pada waktu cuti. Dalam ayat 16c pula, frasa sendi nama yang berfungsi sebagai frasa keterangan pada waktu cuti dikedepankan tanpa oleh diikuti oleh frasa sendi nama predikat utama ke kampung.
Selain pendepanan sebahagian daripada predikat yang meliputi frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama, ada kalanya hanya kata tugas dalam predikat dikedepankan, terutamanya dalam ayat tanya. Sila lihat contoh yang berikut:
17a. Dia pernah ke Vietnam?
17b. Pernahkah dia ke Vietnam?
18a. Dia selalu balik ke kampung?
18b. Selalukah dia balik ke kampung?
19a. Dia mahu tunduk?
19b. Mahukah dia tunduk?
20a. Dia tidak faham?
20b. Tidakkah dia faham?
Dalam kelompok ayat 17-20 di atas, kata bantu aspek pernah, kata adverba selalu, kata bantu ragam mahu dan kata nafi tidak yang merupakan sebahagian daripada predikat ayat tanya dikedepankan dengan ditambah kata tanya penegas -kah.