22 April 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah mengadakan kunjungan muhibah ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak untuk berkolaborasi dengan DBP Cawangan Sarawak dalam penganjuran Pertandingan Pidato Suara Mahasiswa Kenyalang yang akan mengangkat tema “Pemimpin Masa Depan: Membangunkan Karakter dan Integriti dalam Kepimpinan”.

Matlamat pertandingan pidato ini adalah untuk mencungkil bakat mahasiswa UiTM Cawangan Sarawak dalam bidang seni pidato selain bertujuan mengembangkan bakat kepimpinan mahasiswa dengan melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti dan memupuk penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan mahasiswa.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai menyambut baik hasrat UiTM Cawangan Sarawak tersebut dalam usaha membina sinergi dengan institusi pendidikan tinggi seperti UiTM.

Menurut beliau, DBP Cawangan Sarawak sangat menyokong penganjuran pertandingan pidato ini kerana tujuan penganjurannya selari dengan matlamat DBP dalam memperkasakan dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul lebih-lebih lagi pada peringkat pengajian tinggi.

Pertandingan Pidato Suara Mahasiswa Kenyalang ini dijangka akan diadakan pada 15 Jun 2024 bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan dan sambutan ulang tahun DBP ke-68 yang berlangsung sepanjang bulan Jun.

YBrs. Abang Haliman Haji Abang Julai mendengar penerangan tentang pertandingan pidato daripada pihak FSPPP, UiTM Cawangan Sarawak.
Pihak FSPPP UiTM Cawangan Sarawak memberikan penerangan tentang Pertandingan Pidato Suara Mahasiswa Kenyalang yang bakal diadakan nanti.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.