27 April 2024, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Prince of Songkla University (PSU) Kampus Pattani Thailand telah menganjurkan Program Peningkatan Penggunaan Bahasa Melayu Musim Cuti Pelajar Tahun Tiga pada 22 April hingga 26 April 2024 di Wisma DBP.

Pelaksanaan program ini bertujuan membimbing dan memantapkan kemahiran berkomunikasi dan penulisan pelajar dalam bahasa Melayu.

Menerusi program ini, pelajar PSU memilih DBP untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka dan pada tahun ini, sebanyak 23 orang pelajar menyertai program ini yang terdiri daripada pelajar dalam jurusan Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika berucap dalam majlis perasmian program tersebut berkata, pelajar PSU perlu memanfaatkan program anjuran PSU-DBP ini serta meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu dengan baik dan betul dalam berkomunikasi dan penulisan.

Pelbagai pengisian telah diatur oleh urus setia dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP. Antaranya termasuklah kuliah yang berkaitan dengan penggunaan kamus, perkembangan bahasa, pemartabatan Jawi, penulisan kreatif (pantun, puisi, syair dan gurindam), penulisan dan penerbitan artikel dalam majalah dan jurnal DBP.

Sesi ceramah disampaikan oleh para pegawai kanan DBP dan program pada kali ini turut menampilkan pelibatan tokoh atau pakar bahasa, iaitu YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Haji Awang Sariyan dan Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari.

Di samping mengikuti kuliah di DBP, para pelajar juga dibawa melawat ke universiti awam yang berhampiran, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Dalam sesi lawatan ini, pelajar berpeluang mendengar taklimat berkaitan dengan program atau kursus bahasa Melayu yang ditawarkan oleh universiti berkenaan.

Menerusi aktiviti lawatan sambil belajar ke universiti tersebut, pelajar mendapat motivasi untuk memilih tempat yang sesuai bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah tinggi (sarjana/doktor falsafah) dalam jurusan Bahasa Melayu atau Pengajian Melayu pada suatu hari nanti.

Pada hari terakhir program, DBP telah menganjurkan Malam Kesenian PSU bersempena dengan majlis penutupan program yang dilaksanakan khusus untuk meraikan pelajar yang akan pulang ke PSU pada hari yang berikutnya. Dalam majlis ini, para pelajar mempersembahkan bakat atau karya mereka dalam pelbagai bentuk persembahan seperti nyanyian, dikir, seloka dan syair.

Majlis penutupan program tersebut pula telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan.

Menurut seorang peserta program, iaitu Lukman Waehama, beliau menyatakan bahawa program ini sangat bermanfaat kepada beliau dalam mempelajari bahasa Melayu dan program ini perlu diteruskan pada masa hadapan dengan menambah bilangan hari program serta mengadakan aktiviti permainan atau menyaksikan persembahan teater dalam jadual program.

Sementara itu, pensyarah yang mengiringi kumpulan pelajar PSU ke DBP, iaitu YBrs. Dr. Hajah Djusmalinar Djamarin pula menzahirkan kegembiraannya dengan menyatakan bahawa pengisian ilmu dalam program ini amat padat walaupun tempoh programnya singkat. Beliau turut berasa bangga kerana DBP berjaya menyusun jadual tersebut dengan baik dan dapat diikuti oleh para peserta.

Program Peningkatan Penggunaan Bahasa Melayu Musim Cuti Pelajar PSU dahulunya dikenali sebagai Program Cuti Semester DBP-PSU. Program ini telah diadakan sejak tahun 2002 dan PSU Kampus Pattani merupakan universiti yang sangat komited dalam menjayakan program ini pada setiap tahun dengan DBP hingga kini.

Pelajar PSU bergambar bersama-sama Ketua Pengarah DBP, dan urus setia program sebagai tanda kenang-kenangan.
Pelajar PSU bergambar kenangan dengan YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Haji Awang Sariyan.

YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Haji Awang Sariyan menyampaikan ceramah tentang bahasa Melayu.
Lawatan sambil belajar PSU ke UPM.
Pelajar PSU bergambar kenangan ketika menerima sijil penyertaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.