28 April 2024, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Serdang Pasukan Debat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjuarai Pertandingan Debat Belia antara Institusi Pendidikan Tinggi 2024 “Piala Tan Sri Aishah Ghani” (DELIA) setelah berjaya mengalahkan pasukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Auditorium Jurutera Raden Omar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kedua-dua pasukan membahaskan usul debat yang bertajuk “Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2024: Mahasiswa Kita Sudah Bersedia”, yang menyaksikan pasukan debat UniSZA beraksi selaku pihak kerajaan sementara pasukan UPNM selaku pihak pembangkang.

Pasukan UPNM membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sebanyak RM1,500, termasuklah dengan memenangi Kategori Pendebat Terbaik, sementara pasukan debat UniSZA mendapat tempat kedua dengan meraih piala dan wang tunai RM1,000.

Pasukan yang mara pada peringkat akhir ialah pasukan Universiti Utara Malaysia dan pasukan Universiti Malaysia Kelantan. Kedua-dua pasukan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Sementara itu, Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan pula disandang oleh Muhammad Ammar Akrimi Azman dari Universiti Malaya, manakala Anugerah Pendebat Terbaik Akhir disandang oleh Abdul Azim Azmi dari UPNM.

Majlis perasmian penutupan pula disempurnakan oleh YBrs. Dr. Daljit Singh Karam Singh, Pengetua Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM.

Yang turut hadir dalam pertandingan tersebut ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, UPM; Puan Huznah Sa’it, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Puan Nur Sabrina Marzuki, Ketua Felo Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM.

YBrs. Dr. Daljit Singh dalam ucapannya berkata;

Pertandingan ini menjadikan mahasiswa petah berucap dan lebih berkeyakinan selain dapat memperkasakan pemikiran kreatif dalam mengembangkan idea dan gagasan.

Sebanyak 40 pasukan dari pelbagai institusi pendidikan tinggi Malaysia telah menyertai program yang turut dijayakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, pengurusan Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Kelab Debat Bahasa Melayu, UPM dan DBP.

Pertandingan DELIA merupakan penganjuran kali ke-8 yang berlangsung dari 26 April hingga 28 April 2024 ini bertujuan melahirkan modal insan yang memiliki pemikiran yang kritis dan berupaya menjanakan idea yang bernas dan relevan di samping membentuk golongan mahasiswa yang berpengaruh dan berkepimpinan.

Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat Belia 2024 disempurnakan oleh YBrs. Dr. Daljit Singh Karam. Singh.
Sesi pertandingan akhir Pertandingan Debat Belia 2024 sedang berlangsung.
Para penonton bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.