28 April 2024, 20:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur “Dalam pesawat menuju ke Riyadh sambil dibekalkan buku dan majalah The Economist dan Dewan Masyarakat Bil 2: 2024, saya pilih untuk menelaah Dewan Masyarakat, dan amat kagum dengan bahasa, mutu karya dan pilihan rencana menarik dengan tema ‘debat hujah’, yakni usaha mendorong ke arah wacana segar berlandaskan hujah dan fakta serta menolak ketaksuban dan fitnah.”

Demikian rasa kagum yang dizahirkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia setelah membaca majalah Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tambah beliau, puisi pilihan, iaitu “Bahasa Tanpa Kasta” karya Abizal (Miri) juga ternyata mengalirkan jernih budi, menyejukkan kalbu setiap insan dan menyeberangi sempadan benua, usia dan zaman.

Termenung saya mencari kaedah terbaik untuk menyemarakkan budaya iqra’ dan menyuburkan tradisi aqliyah.

Kekhuatiran saya justeru kerana majalah seperti Dewan Masyarakat tidak menjadi bacaan popular anak muda di sekolah dan universiti.

Beliau turut merujuk khusus artikel dalam Dewan Masyarakat tersebut, iaitu rencana mengenai politik taksub, debat hujah, ulasan buku The History of Java dan penonjolan George Santayana yang merupakan pengolahan yang cermat serta berharga.

Menurut YBrs. Dr. Hazami Jahari, iaitu Ketua Pengarah DBP, pujian Perdana Menteri terhadap mutu penerbitan majalah DBP itu merupakan satu penghormatan yang besar buat DBP.

“Pujian PM merupakan satu penghormatan yang besar buat DBP” – YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP.

Beliau berkata;

Saya juga sudah menggerakkan usaha untuk memastikan semua terbitan DBP memenuhi kehendak dan keperluan sebenar negara.

Dalam usaha ini, kita telah melaksanakan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Kembali ke Sekolah untuk memperkasakan budaya membaca di sekolah dan penggunaan majalah di dalam kelas.

Saya berharap agar majalah terbitan DBP dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak terutamanya sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi mendaulatkan dan mengembangkan bahasa kebangsaan, serta  memantapkan pengajaran dan pembelajaran melalui bahan bacaan yang berkualiti.

Majalah Dewan Masyarakat mula diterbitkan pada bulan September 1963 dengan slogan “Penggerak Tradisi Ilmu dan Pemikiran Kritis” bagi menyorot dan menganalisis perkara penting dalam bidang sosial, ekonomi, pendidik dan politik masyarakat Malaysia, serta peristiwa dan isu menarik antarabangsa serta cetusan kolumnis terhormat.

Sasaran pembaca bagi majalah ini ialah golongan eksekutif dan profesional, pentadbir, pembuat dasar, pemimpin, usahawan, pendidik, pelajar menengah atas dan pengajian tinggi serta orang awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.