Oleh Ezura As'ad Azam
8 Mei 2024, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang berjaya menganjurkan Pertandingan Resensi Buku Tunas Muda di Anjung Ilmu, SK Kundasang, semalam.

Pelaksanaan pertandingan ini seiring dengan objektif Dekad Membaca Kebangsaan, iaitu memupuk minat dan kecintaan terhadap amalan membaca, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Selain bertujuan meningkatkan keyakinan dan kemahiran murid-murid agar mampu berkongsi hasil pembacaan dengan khalayak ramai, pertandingan ini juga bermatlamat untuk menggalakkan murid-murid melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kebahasaan dan persuratan, khususnya di luar bilik darjah.

Pertandingan ini menerima sambutan yang menggalakkan apabila disertai oleh 24 orang murid Tahap 2 dari sekolah rendah sekitar daerah Ranau.

Dalam majlis perasmian program tersebut, YBrs. Encik Jamili Napi, Penolong Kanan Pentadbiran SK Kundasang, yang mewakili Guru Besar dalam ucapannya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan demi kemenjadian murid, selain berupaya membina generasi yang cemerlang yang bukan sahaja dalam aspek akademik, bahkan kokurikulum dan sahsiah.

YBrs. Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sabah turut menyampaikan ucapan penghargaan khas kepada rakan sinergi kerana sudi bekerjasama dalam penganjuran program ini.

Program yang berkonsepkan bicara buku amat penting bagi melahirkan murid yang berfikiran kritis kerana melibatkan sudut pandang hasil daripada pemahaman terhadap pembacaan. Pada masa yang sama, perbincangan dan kupasan idea oleh setiap peserta pastinya memberikan peluang kepada rakan sebaya untuk lebih memahami kandungan dan keistimewaan sesebuah buku.

Acara perasmian dan penyampaian hadiah pula disempurnakan oleh YBrs. Puan Barizah Kahar, Pegawai PPD Ranau. Menurut beliau, pelaksanaan pertandingan ini seiring dengan peranan generasi muda sebagai pemimpin pada masa hadapan. Pertandingan ini juga ternyata berhasil memperlihatkan kepentingan membaca yang memberikan impak besar dalam melahirkan masyarakat berilmu.

Johan pertandingan dinobatkan kepada Nurnatasha Nadjwa Ambri dari SK Kauluan yang merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM300.00. Naib johan pula diraih oleh Ahmad Ammar Ar Rayyan Jainudin dari SK Tongou yang memenangi hadiah wang tunai yang berjumlah RM200.00. Tempat ketiga pula jatuh kepada Felchy Aesterviani Jackrinius yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100.00.

Sebanyak 10 orang peserta lagi membawa pulang hadiah sagu hati yang berjumlah RM50.00 setiap seorang. Semua pemenang turut menerima sijil penghargaan.

YBrs. Encik Jamili Napi menyampaikan ucapan alu-aluan.
Ucapan perasmian oleh YBrs. Puan Barizah Kahar.
Johan Pertandingan Resensi Buku Tunas Muda, iaitu Nurnatasha Nadjwa Ambri dari SK Kauluan menerima hadiah daripada YBrs. Puan Barizah Kahar.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.