16 Mei 2024, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Shah Alam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai johan Debat Perpaduan Negara Piala Menteri Perpaduan 2024 dengan menewaskan Universiti Malaya pada peringkat akhir pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2024, yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam, hari ini.

USIM membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, termasuklah geran SRN yang berjumlah RM10,000, piala pusingan, buku terbitan DBP dan sijil penyertaan pertandingan.

Sebanyak 200 orang pembahas dengan pelibatan 50 pasukan yang menyertai pertandingan ini berjaya menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi. Dengan mengangkat tema “Menjiwai Rukun Negara”, pertandingan ini berjaya membuka ruang dan peluang mahasiswa dalam meneroka idea dan hujah yang dilihat mampu membantu usaha melestarikan dan memperkasakan perpaduan negara.

YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara menyatakan bahawa pertandingan debat ini merupakan platform penting dalam usaha menjayakan Dasar Perpaduan Negara yang bertujuan memupuk, mengukuh, dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Kementerian sentiasa memberikan penekanan dan fokus kepada agenda pengukuhan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda,” ujarnya.

Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2024 ini dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi, Sekretariat Rukun Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Majlis Debat Universiti Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pertandingan ini telah pun bermula pada 3 Mei 2024 hingga 5 Mei 2024 (secara dalam talian) dan pada 15 Mei 2024 hingga 16 Mei 2024 (secara fizikal) dengan penyertaan oleh  mahasiswa dari institusi pendidikan tinggi.

Sebagai rekod, pertandingan debat ini bermula pada tahun 2005 hingga 2015 dan ditangguhkan pada tahun yang berikutnya atas kekangan tertentu. Kemudian, pertandingan debat ini disambung semula pada tahun 2020 dan kini menjadi program Kementerian Perpaduan Negara di bawah flagship Kembara Perpaduan.

Pelaksanaannya juga merupakan inisiatif dalam mempromosikan program yang berkaitan dengan Sekretariat Rukun Negara sebagai satu daripada jentera utama perpaduan.

YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah merasmikan pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2024.
50 buah pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2024.
Pendebat USIM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.