Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSarawak – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini menyatakan penghargaan yang tinggi kepada Kerajaan Sarawak atas perhatian terhadap usaha pemuliharaan dan pelestarian bahasa sukuan di Sarawak.
Sebagai agensi yang diberi tanggungjawab untuk menjaga dan memartabatkan bahasa, DBP melalui DBP Cawangan Sarawak telah mengambil langkah dengan penubuhan Jawatankuasa Pelestarian Bahasa Peribumi dan Jawatankuasa Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum Sarawak.
Tindakan ini bertujuan mendokumentasikan dan melestarikan bahasa sukuan di Sarawak.
Sebelum ini, isu ini telah pun menjadi tumpuan utama dalam Persidangan Dewan Undangan Sarawak yang diadakan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga pada 9 Mei 2024. Ahli-ahli Yang Berhormat turut memberikan perhatian yang serius terhadap isu yang berkaitan dengan bahasa sukuan dan kepupusan bahasa.
Selain itu, penyelidikan dan pendokumentasian yang dilaksanakan oleh DBP turut memberikan sumbangan yang besar terhadap integrasi bahasa sukuan ke dalam bahasa kebangsaan.
Menurut DBP Cawangan Sarawak, pihaknya terus mengambil perhatian terhadap bahasa sukuan yang menghadapi ancaman kepupusan dan usaha untuk mengekalkannya telah dilakukan melalui penerbitan bagi memastikan kelestarian bahasa-bahasa tersebut.
Antara buku-buku yang diterbitkan termasuklah Kamus Bahasa Melanau Mukah–Melayu Dewan, Kamus Bahasa lban–Melayu Dewan, Kamus Bahasa Vaie–Melayu Dewan, Kamus Melayu Sarawak–Melayu Dewan, Daftar Kata Bahasa Vaie–Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Melayu–Bahasa Kedayan, Daftar Kata Bahasa Melayu–Bahasa Melanau Dalat, Daftar Kata Bahasa Melayu–Bahasa Melanau Seduan, Daftar Kata Bahasa Melayu–Bahasa Kenyah Cebup, Daftar Kata Bahasa Melayu–Bahasa Tetaw, Daftar Kata Bahasa Bakong–Bahasa Melayu dan Daftar Kata Bahasa Narum–Bahasa Melayu.
DBP Cawangan Sarawak juga sedang berusaha menerbitkan dua buah kamus, sebuah glosari dan tujuh buah daftar kata.
Antara bahan terbitan yang dimaksudkan termasuklah Kamus Bahasa Melanau Matu Daro–Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Melayu–Bahasa Miriek, Glosari Bahasa Kedayan–Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Melayu–Bahasa Lunbawang, Daftar Kata Bahasa Tering–Bahasa Melayu, Daftara Kata Bahasa Bidayuh Bau–Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Melayu-Bahasa kayan, Daftar Kata Bahasa Sekapan–Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Melayu–Bahasa Kejaman dan Daftar Kata Bahasa Remun–Bahasa Melayu.
Sehubungan dengan itu, DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama rakan strategik persatuan-persatuan etnik dan agensi kerajaan Sarawak dan persekutuan akan terus berusaha untuk memastikan pelestarian dan pendokumentasian bahasa sukuan dapat dilaksanakan dengan jayanya di Sarawak.