Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Mulai pertengahan tahun 2022, Bahagian Perkamusan telah dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras dan urus setia penyelenggara dalam penyediaan draf awal Panduan Umum Penyusunan Kamus Bahasa Sukuan. Panduan umum bagi sesebuah projek penyusunan kamus amat penting agar kamus yang dihasilkan, terutamanya kamus bahasa sukuan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mematuhi amalan dan prinsip leksikografi masa ini.
Sehubungan dengan itu, bertempat di DBP Cawangan Sarawak, satu bengkel dilaksanakan dari 13 Mei 2024 hingga 15 Mei 2024, iaitu Bengkel Intensif Panduan Umum Penyusunan Kamus Bahasa Sukuan.
Bengkel ini dihadiri oleh YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, (merangkap Pengerusi Bengkel); YBrs. Puan Hajah Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah; YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak; YBrs. Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Perkamusan; wakil Unit Pembinaan dan Penyelidikan Bahasa, DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak serta pegawai dari Bahagian Perkamusan.
Sepanjang tiga hari berbengkel di Bilik Wacana, Aras 2, DBP Cawangan Sarawak, kandungan bab penting, iaitu pembinaan entri menjadi bahan perbincangan yang paling tuntas diperhalus, dikupas dan dimurnikan berbekalkan pengalaman luas pasukan DBP Cawangan Sabah dan Sarawak yang telah menerbitkan kamus bahasa sukuan, serta disokong juga dengan bahan rujukan sedia ada yang berupa daftar kata, glosari dan kamus bahasa sukuan terbitan DBP, buku panduan leksikografi arus perdana dan Kamus Dewan Perdana.
Antara aspek pembinaan entri yang diberi perhatian termasuklah penyenaraian entri, pemilihan entri dan pendrafan entri. Kandungan lain seperti prapenyusunan kamus turut dibincangkan yang mencakupi aspek perancangan kamus dan pengumpulan data.
Panduan yang berkaitan dengan penyusunan kamus sebagaimana draf Panduan Umum Penyusunan Kamus Bahasa Sukuan yang sedang diusahakan ini dicetuskan daripada Mesyuarat Penyelarasan Program Perkamusan antara Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera dengan DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak pada April 2022, yang menggagaskan satu rujukan perkamusan sebagai satu daripada sarana leksikografi di bawah fungsi pembinaan bahasa.
Siri bengkel intensif ini akan dilanjutkan ke arah penghasilan manuskrip lengkap pada penghujung tahun ini.