20 Mei 2024, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan Sebanyak 30 orang pelajar dari 15 buah sekolah di sekitar Labuan bertanding dalam Pertandingan Jaguh Jawi yang diadakan semalam bersempena dengan Pesta Buku Labuan 2024.

Pertandingan yang menyasarkan pelajar sekolah rendah ini bertujuan menguji kemahiran membaca, menulis dan mengeja dalam tulisan Jawi berdasarkan panduan ejaan Jawi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sasaran utama pertandingan tersebut adalah untuk memupuk penggunaan tulisan Jawi dalam masyarakat, khususnya yang bermula dari peringkat sekolah rendah.

Pertandingan Jaguh Jawi ini diadakan melalui empat segmen yang menghiburkan dan mendidik.

Peserta bermula dengan segmen A, iaitu segmen Tulis Jawi. Dalam segmen ini, peserta diminta untuk menulis simpulan bahasa berdasarkan gambar yang diberikan dalam tulisan Jawi. Hanya beberapa orang peserta terbaik yang akan mara ke segmen seterusnya, seperti segmen B (Anagram Jawi), dan segmen C (Baca Jawi).

Tiga orang peserta terbaik daripada segmen sebelumnya akan bertanding dalam segmen yang terakhir, iaitu segmen D (Eja Jawi).

Pertandingan Jaguh Jawi diungguli oleh Nur Wafa’a Iwani Irwan dari SK Sungai Lada yang muncul johan dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM300.00.  Naib johan pula dimenangi oleh Nur Amni Syifa Sairie dari SK Pekan Dua dengan memperoleh wang tunai sebanyak RM200.00.

Sementara itu, Nur Mardhiah Hassan dari SK Lubok Temiang pula mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100.00. Sebanyak 10 orang peserta telah memenangi hadiah sagu hati yang berjumlah RM50.00 dan semua pemenang turut menerima sijil penghargaaan.

Penyampaian hadiah Pertandingan Jaguh Jawi telah disempurnakan dalam Majlis Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Rithuan Haji Mohd Ismail, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.

Respons positif daripada para guru di Labuan juga telah memberikan semangat kepada DBP Cawangan Sabah untuk terus mengadakan program yang memfokuskan tulisan Jawi agar tulisan Jawi terus relevan seperti kata pepatah, “Tak lekang dek panas, tak lekang dek hujan” dan membudayakan semula penggunaan tulisan Jawi dalam masyarakat, khususnya di Sabah.

Antara peserta Jaguh Jawi dalam segmen D: Eja Jawi, iaitu mengeja seberapa banyak perkataan yang menggunakan tulisan Jawi dengan betul.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.