Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Mesyuarat Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2011 telah bersetuju meluluskan pemberian dana untuk mengembangkan bahasa dan sastera di negara kita.”
Demikian antara makluman yang disampaikan oleh Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP ketika menjadi tetamu dalam rancangan “Apa Khabar Malaysia” terbitan BERNAMA TV, pagi semalam.
Beliau berkata, dana khas tersebut diberikan kepada persatuan penulis dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Tambah beliau;
Pemberian dana khas tersebut bagi merangsang lebih banyak pihak untuk menyemarakkan kegiatan bahasa dan sastera di negara ini kerana DBP tidak boleh bergerak sendiri dan memerlukan penglibatan lebih banyak pihak.
Menurut beliau, dana khas tersebut hanya boleh dipohon sekali sahaja dan sumbangan akan disalurkan terus ke dalam akaun bank masing-masing.
Katanya lagi, bagi tahun ini, DBP telah mula menghebahkan pemberian dana tersebut mulai 10 Januari lalu di laman web DBP, serta platform yang lain dan permohonan dana tersebut akan berakhir pada 30 Ogos 2024.
Beliau memaklumkan bahawa hal ini disebabkan pemohon perlu mengemukakan permohonan dana dalam masa tiga bulan sebelum tarikh pelaksanaan program masing-masing.
“Nilai maksimum pemberian dana khas oleh DBP ini berjumlah RM5,000 dan para pemohon perlu melampirkan kertas cadangan program bersama-sama salinan sijil pendaftaran pertubuhan masing-masing semasa membuat permohonan kepada Ketua Pengarah DBP” jelasnya.
Jelas beliau, pada tahun lepas, pihaknya telah memberikan dana khas tersebut kepada 13 buah persatuan dan NGO. Tambahnya lagi, walaupun banyak permohonan yang diterima tetapi kebanyakannya tidak mengikut syarat yang ditetapkan.