25 Mei 2024, 19:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Kuala Lumpur “Konsep didik hibur diketengahkan dalam penghasilan Buku Siri Pandai Baca Buku 1 hingga Buku 5. Anak-anak kita yang masih dalam proses belajar membaca seharusnya dibimbing dan diajar secara bertahap supaya dapat memahamkan mereka tentang bunyi-bunyi vokal dengan mengaitkan benda atau perkara yang ada di dalam rumah.”

Demikian ulasan daripada Encik Ahmad Firdhaus Hasraf Hassan, penulis buku yang juga ahli panel Sesi Bersama Penulis Buku Siri Pandai Baca Buku 1 hingga Buku 5, yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada hari ini.

Menurut Encik Ahmad Firdhaus lagi, anak-anak tidak perlu dibebani dengan banyak perkataan yang ada dalam buku, sebaik-baiknya diminimumkan perkataan tersebut dan dibantu dengan lukisan yang berwarna-warni, berimaginasi dan grafik yang cantik. Grafik tersebut boleh menarik minat anak-anak untuk belajar.

Sesi Bersama Penulis Buku Siri Pandai Baca Buku 1 hingga Buku 5 diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Sesi Bersama Penulis Buku Siri Pandai Baca Buku 1-5 diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Bahasa di Dewan Tun Hussein Onn bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

Moderator bersama-sama ahli panel yang juga merupakan penulis buku.

Selain Encik Ahmad Firdhaus Hasraf Hassan, Sesi Bersama Penulis Buku ini turut menampilkan Puan Suraya Ismail, yang juga penulis buku tersebut. Kedua-dua ahli panel tersebut merupakan pengurus dan tenaga pengajar di Pusat Jagaan Sufi Kreatif di Tanjong Malim dan Slim River.

Sementara itu, moderator bagi sesi ini ialah Puan Qurratul ‘Ain Abdul Rahim, iaitu penulis buku Dua Rahsia Berjabat (2020) dan Momen (2020). Puisi beliau, “Rumah Pertama” pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi kategori Puisi Eceran pada tahun 2019/2020.

Encik Ahmad Firdhaus Hasraf Hassan, penulis buku.

Menurut Encik Ahmad Firdhaus:

Huruf pertama yang diteriakkan oleh kanak-kanak semasa lahir ialah huruf A (bunyi). Kanak-kanak yang baru lahir akan teriakkan bunyi ‘Aaa’ semasa mereka dilahirkan. Inilah pentingnya vokal A (bunyi), iaitu vokal pertama yang perlu diketahui oleh kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak ini sudah memahami vokal A, bagi membunyikan perkataan yang bermula dengan huruf A, insya-Allah bagi bunyi-bunyi yang seterusnya, anak-anak ini akan lebih mudah belajar.

Puan Suraya Ismail, penulis buku.

Menurut Puan Suraya Ismail:

Walaupun anak-anak belajar pelbagai teknik dalam membaca, sama ada di sekolah ataupun di rumah, yang lebih penting bagi anak-anak ialah perlunya bimbingan ibu bapa dalam membantu menerokai minda kreatif mereka. Setiap anak-anak mempunyai keupayaan minda yang berbeza. Sekiranya ibu bapa meletakkan tahap anak-anak itu sama, perkara itu menyebabkan anak-anak yang lambat belajar akan ketinggalan dan perkembangan mereka terbantut berbanding dengan anak-anak yang cerdas. Dalam hal ini, peranan ibu bapa sangat penting bagi membantu mereka menerokai minda kreatif ini.

Persembahan deklamasi lakon (dekon) oleh pelajar dan tenaga pengajar Pusat Jagaan Sufi Kreatif, Proton City, Perak.

Program ini diakhiri dengan persembahan dekon daripada adik Haifa Qaisara, yang mendendangkan lagu Melayu asli yang berjudul Umpan Jinak di Air Tenang, nyanyian Allahyarham Ahmad Jais, deklamasi sajak oleh Encik Firdhaus Hasraf dan Puan Suraya Ismail, serta persembahan bacaan pantun oleh adik Hana Malaika dan adik Muhammad Adham.

Yang menarik dalam kesemua persembahan ini ialah seni tersebut dilakonkan dan disatukan menjadi satu persembahan dekon yang memberikan nilai pengajaran kepada penonton.

Yang turut hadir dalam program ini ialah YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP; YM Tengku Fauziah Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, DBP dan YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.