Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPagoh – Surah Al-‘Alaq, yang juga dikenali sebagai Surah Iqra’ mengandungi seruan yang mampu membangkitkan jiwa dan menekankan pentingnya membaca sebagai asas untuk memperoleh pengetahuan dan pemahaman.
Sehubungan dengan itu, inspirasi daripada surah ini mendorong pelaksanaan program “Ayuh Gilap Membaca 2.0” yang telah disertai oleh 33 orang pelajar Usrah in Action dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, di bawah bimbingan YBrs. Dr. Nora’Azian Nahar. Mereka tidak hanya membawa sinar kejayaan, tetapi juga harapan baharu kepada murid pemulihan di Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh (SKPP) Muar, Johor.
Program ini merupakan kesinambungan daripada program “Ayuh Gilap Membaca 1.0” yang telah diadakan pada semester lepas. Setelah mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid pemulihan dalam program pertama, pelajar UIAM Pagoh melanjutkan misi mereka bagi mencari jalan penyelesaian melalui dua inisiatif utama dalam program susulan ini.
Inisiatif pertama, program “Kembara SKPP” diadakan pada setiap hari Khamis di sekolah tersebut. Pelajar UIAM menghidupkan suasana pembelajaran baharu menggunakan pendekatan moden yang menarik. Mereka menggabungkan kaedah pengajaran dengan elemen lagu, tarian dan permainan untuk meningkatkan minat dan keterlibatan murid pemulihan dalam proses pembelajaran.
Kegemilangan program tersebut tidak berhenti di situ sahaja. Inisiatif kedua yang tidak kurang menariknya ialah program “Pengembara Cilik”, iaitu murid SKPP diberi peluang untuk mengunjungi UIAM dan merasai sendiri suasana di universiti.
Program ini memerlukan murid untuk bergerak ke lima stesen di universiti dan setiap stesen menawarkan pengalaman unik dan interaktif. Aktiviti di setiap stesen merangkumi aktiviti yang melibatkan penyusunan suku kata dan pembinaan perkataan berdasarkan diftong sehingga aktiviti membina ayat.
Program ini mendapat sambutan yang sangat positif daripada para guru dan murid di SKPP. Cikgu Nurlailey Mohd Aroff, guru kelas pemulihan di SKPP, menyatakan kepuasannya terhadap keberkesanan program ini dengan memberikan markah penuh kepada pelajar Usrah in Action dari UIAM.
Berkat program ini, seramai 23 orang daripada 33 orang murid dari kelas pemulihan telah lulus ujian saringan untuk ke kelas arus perdana.
Majlis Perasmian Penutupan Program “Ayuh Gilap Membaca 2.0” pula dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Muar, Johor, iaitu YBrs. Tuan Haji Roslan Atan.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Hajah Serisaerah binti Mahpal; Encik Rosman Muhammad, Pegawai Pemulihan Khas, PPD Daerah Muar; Puan Hajah Siti Hajar Karmani, Guru Besar SKPP; dan beberapa orang guru dari SKPP.
Program ini membuktikan bahawa dengan dedikasi, kreativiti, dan pendekatan yang bersesuaian dengan kehendak generasi kini, perubahan besar dalam pendidikan dapat dilakukan.
Kejayaan ini turut membawa harapan agar program “Ayuh Gilap Membaca” dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang supaya lebih banyak murid pemulihan dapat dibantu dan mendapat manfaat daripada program fardu kifayah ini.