29 Mei 2024, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin 

Kuala Lumpur “Kefahaman biasa masyarakat umum tentang kepustakaan ilmu Tamadun Melayu hanya berfokus dalam bidang sastera, hikayat, mitos dan estetika. Oleh hal yang demikian, penerbitan buku ini membawa tujuan yang berbeza dalam kepustakaan ilmu dalam Tamadun Melayu. Penulisan buku ini memberikan fokus dalam bidang sains dan matematik, khasnya bagi mengangkat dan membawa satu landskap baharu dalam kepustakaan ilmu Tamadun Melayu.”

Demikian antara petikan ucapan bicara buku Tujuh Ilmu Pilihan dalam Bahasa Melayu yang Mendahului Bahasa Inggeris Jilid I dan Jilid II oleh YBrs. Dr. Mohamad Alinor Abdul Kadir, Pengerusi Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia sewaktu Majlis Pelancaran dan Bicara Buku Tujuh Ilmu Pilihan dalam Bahasa Melayu yang Mendahului Bahasa Inggeris Jilid I dan Jilid II, yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada hari ini.

Jilid I buku ini mengandungi fakta yang luar biasa tentang kehebatan ilmu bahasa Melayu dalam bidang nombor dan angka perpuluhan; aritmetik pecahan; logik; dan ekonomi perniagaan dan perdagangan yang telah dibuktikan mendahului tamadun berbahasa Inggeris. Tiga bidang lagi, iaitu astronomi dan kosmologi, perubatan dan kepimpinan dan kepengurusan turut dijelaskan dalam buku Jilid II.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia. Menurut YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan;

Buku ini memberikan satu peralihan paradigma bahawa kenyataan yang mengatakan seolah-olah Tamadun Melayu tidak berteraskan ilmu dapat ditolak sama sekali. Seolah-olah ilmu sains dan ilmu-ilmu yang dikaitkan dengan pemodenan itu hanya disentuh sesudah kedatangan Barat, maka itu juga dapat ditolak dengan hasil kajian yang telah ditampilkan dalam buku ini.

Menurut YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan lagi;

Saya mencadangkan agar dua jilid buku ini menjadi tujuh jilid lagi, sesuai dengan tujuh petala langit, tujuh petala bumi kerana banyak ilmu lagi dalam batu bersurat dan manuskrip Tamadun Melayu yang perlu digali terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

Buku Jilid I ini ditulis oleh YBrs. Profesor Emeritus Dr. Shaharir bin Mohamad Zain, Felo Penyelidik, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Jilid II juga ditulis oleh YBrs. Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain dan dibantu oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Maisarah Hasbullah sebagai penulis kedua.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP; YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP dan YM Tengku Fauziah Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa DBP.

Buku Tujuh Ilmu Pilihan dalam Bahasa Melayu yang Mendahului Bahasa Inggeris Jilid I dan Jilid II.
YBrs. Dr. Mohamad Alinor Abdul Kadir ketika membicarakan tentang  buku Tujuh Ilmu Pilihan dalam Bahasa Melayu yang Mendahului Bahasa Inggeris Jilid I dan Jilid II.
“Buku ini memberikan satu peralihan paradigma bahawa kenyataan yang mengatakan seolah-olah Tamadun Melayu tidak berteraskan ilmu dapat ditolak sama sekali.” YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan.
YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan tetamu kehormat ketika merasmikan buku Tujuh Ilmu Pilihan dalam Bahasa Melayu yang Mendahului Bahasa Inggeris Jilid I dan Jilid II.
Hadirin dan tetamu kehormat yang hadir memeriahkan majlis bergambar kenang-kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.