Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Kuala Lumpur ̶ Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan telah mengadakan program Cakna Bahasa: Minda Kreatif Sasterawan Negara (SN) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pagi tadi.
Program yang dipengerusikan oleh Pengarah DBP Wilayah Tengah, iaitu YBrs. Puan Julia Alani Henry itu menampilkan tiga orang SN, iaitu YBhg. SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan (SN Ke-13), YBhg. SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail (SN Ke-14) dan YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari (SN Ke-15) untuk berkongsi idea dan kreativiti mereka bersama-sama pengunjung yang hadir.
Menerusi bual bicara minda kreatif yang bersifat santai itu, YBhg. SN Dato’ Zurinah Hassan yang mendapat gelaran SN Wanita Pertama menyatakan bahawa pelbagai acara seperti membaca syair harus dilaksanakan agar puisi tradisional dapat terus dipertahankan hingga hari ini.
Tambah beliau lagi, puisi tradisional lebih mudah untuk menarik perhatian pendengar atau khalayak kerana sifatnya yang dilagukan ketika seseorang itu menyampaikan sesebuah puisi berbanding dengan sajak.
Kami memerlukan irama untuk menarik perhatian ramai supaya lebih banyak orang membaca syair.
Saya terheret ke dalam syair ini kerana hendak mempopularkan puisi moden sebenarnya.
Sementara itu, menurut YBhg. SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, penghasilan buku kanak-kanak yang dilakukannya banyak mendapat inspirasi daripada kisah beliau sendiri sewaktu masih kecil dan ketika berjumpa dengan anak-anak Melayu yang tinggal di luar negara.
SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail juga menyatakan bahawa sepanjang penghasilan buku kanak-kanaknya itu, beliau menerapkan etika penggunaan bahasa Melayu yang baik agar anak-anak Melayu fasih bertutur dalam bahasa Melayu dengan penggunaan kata yang tepat.
Tambah beliau;
Jadi, ini juga tanggungjawab ibu bapa, iaitu bagaimana menerapkan bahasa ibunda kita kepada anak-anak.
Selain itu, menurut YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari, punca beliau mula menghafal puisi disebabkan pada awalnya beliau menghafal sebuah skrip drama. Setelah itu, beliau terdorong untuk menghafal puisi karya Usman Awang yang lain dan tokoh lain selepas itu kerana minatnya yang mendalam terhadap puisi yang bagus dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.
Jelas beliau;
Adibah Amin meminta saya berlakon dalam drama Matinya Seorang Pahlawan, karya Usman Awang. Karya itu ditulis dalam bentuk prosa lirik atau sekarang disebut sebagai puisi prosa.
Ujar beliau lagi,
Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah puncanya saya menjadi penghafal? Jawabnya, saya meminati puisi yang bagus, puisi yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dan kerana minat itu saya hafal dan penghafalan itu memerlukan fokus kerana jika kita fokus, kita akan berjaya.
Menurut beliau lagi, pendeklamator yang memasuki sayembara puisi hendaklah berani melaksanakan apa-apa yang diyakini dan bukan hanya mengikut kaedah yang lama untuk menarik minat pendengar atau orang ramai sewaktu mendeklamasikan puisi.
Antara tetamu yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah YBrs. Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Haji Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP dan YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.