Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Dalam konteks Kementerian Pendidikan Malaysia, Tatabahasa Dewan merupakan pegangan yang perlu dijadikan panduan dan dipelajari oleh masyarakat jika mahu mendaulatkan bahasa Melayu.”
Demikian antara pandangan yang diutarakan oleh Encik Alias Ismail, Munsyi Dewan ketika menjadi tetamu secara dalam talian menerusi program “Cakna Bahasa” terbitan BERNAMA Radio, petang semalam.
Tambah beliau;
Tatabahasa Dewan perlu dipelajari dan diteliti oleh masyarakat supaya penggunaan perkataan kita tidak terpesong. Ada sesuatu yang tidak kena dengan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat negara ini ketika berkomunikasi khususnya dalam media sosial sehingga sudah sampai ke tahap yang teruk termasuklah dalam kalangan orang Melayu.
Menurut beliau, sejak akhir-akhir ini didapati bahawa tidak ada kesungguhan dan kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Jika tabiat ini menjadi kebiasaan dalam masyarakat boleh mendatangkan masalah seperti pertelingkahan dan perbalahan.
Oleh sebab itu, setiap bahasa mempunyai undang-undang atau peraturan bahasa yang perlu dipatuhi oleh penuturnya termasuklah bahasa Melayu.
Jelas beliau;
Kita tidak boleh berkomunikasi mengikut apa-apa yang kita faham dan mahu sahaja beranggapan bahawa orang lain memahaminya sedangkan sebenarnya orang lain tidak dapat memahami apa-apa yang kita ungkapkan kerana kita berkomunikasi bukan berlandaskan peraturan bahasa yang betul.
Pada masa ini, menurut beliau, wujudnya bersuku-suku dan berpuak-puak ketika berbahasa dalam kalangan masyarakat negara ini. Kebanyakan masyarakat terpengaruh dengan penggunaan frasa yang boleh menggugat keaslian bahasa Melayu seperti menggunakan frasa “jangan pernah”.
Beliau menjelaskan situasi tersebut berlaku disebabkan masyarakat menerima pengaruh bahasa luar tanpa sebarang tapisan sedangkan sebenarnya ada peraturan pinjaman bahasa yang berbeza antara satu bahasa dengan bahasa yang lain.
Mengakhiri bicaranya, beliau berkata;
Kita mampu mengubah kebiasaan berbahasa dengan memulakannya melalui mesej peribadi yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada ahli keluarga sebagai contoh.