Oleh Maznah Daud
4 Jun 2024, 20:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban –Program Integrasi Pengajaran dan Pembelajaran Karya Sastera melalui Didik Hibur bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk Murid-murid Tahun 5 Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 yang diadakan pada hari ini berjaya memberikan pendedahan kepada para peserta tentang aspek seni bahasa melalui didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran karya sastera yang pelbagai genre.

Program yang berlangsung di Dewan Masjid Kariah Taman  Bandar Senawang ini merupakan program bersama Sekolah Kebangsaan Lavender Heights, Seremban, dan  Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP.

Antara pengisian program tersebut termasuklah Sesi Bicara Tokoh, Persembahan Dendangan Syair dan Pertandingan Baca Naskhah.

Pengisian Bicara Tokoh bersama-sama Encik Rasdi Daud, iaitu Tokoh Pentas dan Layar telah memberikan pendedahan tentang kejelasan sebutan huruf, lontaran suara, penghayatan cerita yang disampaikan dan kreativiti persembahan.

Keterujaan 253 orang peserta daripada 15 buah sekolah yang hadir dihangatkan lagi dengan Pertandingan Baca Naskhah yang diadili oleh Encik Rasdi Daud sebagai Ketua Hakim dan Encik Mohd Nazeri Mohd Mokhtar dan Puan Roziyati  Abdul Razak sebagai Hakim 1 dan Hakim 2.

Tempat pertama Pertandingan Baca Naskhah dimenangi oleh Nur Qisya Adelia Safian dari Sekolah Kebangsaan Dato’ Klana Putra, tempat kedua pula dimenangi oleh Hadif Mohd Nazrul Hisham dari Sekolah Kebangsaan Senawang 3, dan tempat ketiga dimenangi oleh Nur Zahra Kharirul Zaeri dari Sekolah Kebangsaan Senawang.

10 orang peserta yang lain, iaitu dari Sekolah Kebangsaan Sunggala, Sekolah Kebangsaan Lavender Heights, Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Sekolah Kebangsaan Tunku Besar Tampin, Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang, Sekolah Kebangsaan Petaseh (Berasrama), Sekolah Kebangsaan Rahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Lorong Java menerima hadiah sagu hati. Para pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, sijil penyertaan dan hadiah iringan (buku) daripada DBP.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Dr. Haji Roslan Hussin, iaitu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dalam ucapan penutupan program telah menyatakan penghargaannya  kepada pihak penganjur atas penganjuran program yang julung-julung kali diadakan ini.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyuburkan integrasi nasional dalam kalangan murid pelbagai kaum melalui genre karya sastera yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu Tahun 5 (Sekolah Kebangsaan).

Tambahan pula, penyatuan murid dalam program ini menunjangi Konsep Ketiga dalam Konsep Masyarakat MADANI yang diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memberikan penekanan pada pemupukan sikap saling menghormati sesama rakyat, norma sosial dan budaya untuk memastikan keterangkuman semua soal kelangsungan hubungan antara kaum dapat diwujudkan.

Penganjuran Pertandingan Baca Naskhah tersebut juga telah memberikan pendedahan bahawa satu lagi genre sastera perlu diketengahkan kepada murid sama ada dalam pembelajaran di bilik darjah ataupun di medan pertandingan.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Roslan Hussin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Yang turut hadir ialah YBrs.. Puan Huznah Sa’it, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP, serta Encik Rahim Haji Abd Latif, Pegawai SiSc+, Pejabat Pendidikan Daerah Seremban.

Program Bicara Tokoh.
Pengacara program dikendalikan sepenuhnya oleh murid.
Para peserta program bersama-sama Encik Rasdi Daud (kiri), Puan Huznah Sa’it (tengah) dan para pegawai DBP.
Persiapan peserta sebelum Pertandingan Baca Naskhah dimulakan.
Bacaan doa dikendalikan oleh Khairul Uwais.
Bimbingan akhir oleh guru sebelum bertanding.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.