5 Jun 2024, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Zaidah Zakaria

Kuala Lumpur “Satu dosa” jika ada dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak boleh berbahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu yang merupakan identiti bangsa Malaysia.”

Demikian penegasan YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam a/l Rajamanickam, Pensyarah Pusat Kajian Undang-undang Malaysia dan Perbandingan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),  dalam program Suara dari Anjung: Dewan Bahasa yang bertajuk “Bahasa Melayu dan Kewarganegaraan” di Anjung DBP, Menara DBP, pagi tadi.

Bahkan, katanya lagi, dosa tersebut lebih besar daripada membunuh orang kerana hanya seorang sahaja yang mati dibunuh tetapi jika dibunuh sesuatu bahasa, yang mati ialah sebuah bangsa.

Setiap orang berhak mempelajari dan menguasai pelbagai bahasa lain tetapi perlu mengutamakan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembaagan Persekutuan dan menjadi lambang jati diri bangsa.

Tambah beliau, amatlah menyedihkan apabila masih ada warganegara yang tidak tahu dan tidak fasih berbahasa Melayu dengan memberikan alasan bahawa bahasa tersebut sukar dipelajari dan dikuasai sedangkan banyak pekerja warga asing yang bekerja di negara ini mampu dan fasih berbahasa Melayu hanya dalam masa tiga bulan sahaja apabila berada di negara ini.

Beliau juga berpandangan, Malaysia juga tidak mempunyai satu dasar bahasa yang khusus selain terlalu banyak budi bicara yang diberikan dalam peruntukan undang-undang yang melibatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sementara itu, YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, selaku seorang lagi panel pula berkata, kini bukan sahaja mereka yang diberikan warganegara secara pendaftaran diragui kefasihan berbahasa Melayunya tetapi juga dalam kalangan segelintir warganegara yang secara undang-undang, iaitu yang menjadi warganegara secara automatik apabila dilahirkan.

Beliau mencadangkan agar mereka yang memohon kewarganegaraan Malaysia perlu diuji dengan soalan yang lebih sukar dalam ujian penguasaan bahasa Melayu, termasuklah elemen yang menguji pengetahuan mereka yang berkaitan dengan nahu, istilah tertentu dan lain-lain.

YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz turut menyifatkan bahawa tahap soalan ujian penguasaan bahasa Melayu ketika ini terlalu rendah yang membuatkan calon lulus mudah.

Jika diperhatikan, soalan yang ada pada masa ini begitu mudah. Skop soalan itu juga tidak pernah dipinda sejak Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan Perlembagaan Persekutuan 1957.

Beliau juga berpendapat, tahap kesukaran soalan tersebut perlu dipertingkatkan mengikut perkembangan bahasa Melayu terkini kerana pengetahuan calon dalam berbahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah penting.

Sementara itu, pengacara yang juga personaliti televisyen dan pempengaruh media sosial, iaitu Encik Ahmad Fedtri Yahya bertindak selaku moderator program tersebut yang berlangsung selama hampir dua jam yang turut disiarkan secara langsung melalui laman media sosial DBP.

Yang turut hadir dalam program ini termasuklah YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Penerbitan, DBP dan para tetamu undangan serta karyawan DBP.

Program Suara dari Anjung: Dewan Bahasa yang bertajuk “Bahasa Melayu dan Kewarganegaraan” yang dianjurkan oleh Bahagian Majalah, DBP dengan kerjasama Bahagian Multimedia, DBP ini merupakan satu daripada usaha untuk mengeratkan hubungan antara khalayak pembaca majalah Dewan Bahasa, DBP, dan sekali gus membangunkan pemikiran bangsa melalui program yang berbentuk keilmuan yang berteraskan kebahasaan.

YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, pakar perundangan dan perlembagaan turut berkongsi ilmu.
Encik Ahmad Fedtri Yahya, iaitu pengacara, personaliti televisyen dan pempengaruh media sosial bertindak selaku moderator program.
Program Suara dari Anjung: Dewan Bahasa yang bertajuk “Bahasa Melayu dan Kewarganegaraan” yang dianjurkan oleh Bahagian Majalah, DBP dengan kerjasama Bahagian Multimedia, DBP.
Tetamu undangan dan karyawan DBP turut mengikut program secara langsung pada pagi tadi.
YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP (tengah) dan YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Majalah (kanan) bersama-sama ahli panel dan moderator bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.