Oleh Rozihani Mohamad
6 Jun 2024, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Mengangkat tema kemanusiaan “Suara dunia, menyatu benua”, Kelab Penerbitan Kreatif dan Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), serta Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) meneruskan usaha mengangkat suara kemanusiaan melalui bidang sastera Melayu khususnya puisi ke peringkat antarabangsa dengan penganjuran Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) 2024, semalam.

Sayembara ini sebagai usaha melestarikan bahasa Melayu sebagai lingua franca di pelbagai peringkat generasi yang menjadi penghubung komunikasi di seluruh dunia.

Pentas SePENA turut mengetengahkan bakat mahasiswa dalam pengucapan awam khususnya deklamasi puisi sebagai lonjakan dalam melahirkan mahasiswa holistik dan berketerampilan melalui bidang seni budaya.

Penganjuran yang julung-julung kali diadakan ini menanam hasrat untuk meningkatkan kefahaman serta minat kepada generasi muda dan masyarakat terhadap keunikan sastera puisi Melayu di Malaysia.

Penganjuran SePENA turut dilihat mampu meningkatkan pengetahuan serta kesedaran tinggi terhadap isu kemanusiaan yang menjadi tumpuan dunia yang merangkumi perihal kemiskinan, keamanan, kebebasan dan pendidikan yang berlaku di dalam negara mahupun di luar negara yang bertepatan dengan tonggak yang dibawa dalam Malaysia MADANI, antaranya termasuklah mewujudkan nilai ihsan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Rahman Shaari ketika berucap semasa menyempurnakan majlis perasmian penutupan SePENA 2024 berkata;

Tema yang diangkat dalam SePENA ini memberikah arah berfikir bagaimana turut sama menyelesaikan masalah dunia walaupun kita sebuah negara yang kecil tetapi masih mampu memberikan sumbangan ke arah membangunkan minda penduduk dunia. Dalam menuju perkembangan tamadun yang akan datang, sajak-sajak tentang kemanusiaan perlu diperkembangkan bagi membentuk sahsiah dalam diri kita.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga atas penganjuran SePENA 2024 kerana penganjuran program seumpama ini dilihat sebagai platform terbaik yang melibatkan pelajar luar negara agar mereka dapat mendalami dan menghayati karya sastera Melayu dan juga berharap agar puisi-puisi bahasa Melayu mendapat tempat dan terus berkumandang di negara lain di seluruh dunia.

SePENA mencatatkan sejumlah 25 penyertaan daripada universiti awam dan swasta dengan 20 orang peserta mewakili kategori pelajar tempatan dan lima orang mewakili kategori pelajar antarabangsa.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SePENA, iaitu YBrs. Puan Siti Hawa Syafari Isahak berkata;

Besar harapan kami untuk melihat puisi ini menjadi satu medium mengetengahkan bakat generasi penerus seni sastera Melayu zaman moden ini sekali gus menyuntik semangat dan rasa cinta terhadap keindahan bahasa ibunda kita, iaitu bahasa Melayu.

Peserta dari Universiti Malaysia Sabah, Carla Goncalves De Oliveira Sarmento dinobatkan sebagai Johan SePENA bagi kategori antarabangsa, manakala peserta yang berasal dari Uzbekistan, iaitu Akrmoava Sarvinoz Abduvohid Kizi yang sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di tempat kedua dan tempat ketiga milik Yaseer Hassan Sayid Ahmed dari USIM.

Sementara itu, bagi kategori tempatan pula, Nor Hafuza Muhammad Arif dari Universiti Malaya muncul sebagai pemenang, manakala naib johan milik Elvienie Petrus dari UPSI. Tempat ketiga pula menjadi milik Aiman Afiq Ismai, juga dari UPSI.

Sesi penyampaian hadiah turut disampaikan kepada para pemenang hadiah sagu hati kategori tempatan, iaitu kepada Nor Hakira Muhammad Arif dan Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh sementara bagi kategori antarabangsa pula kepada Kuzi Boeva Yulduz Murodjon Kizi dan Umar Ma’an Fahmi Alkhatib.

Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai, piala iringan dan naskhah buku sumbangan rakan kerjasama, iaitu ITBM dan PENA.

Peringkat saringan dan akhir SePENA yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak dengan dihadiri oleh hampir 200 orang audiens.

Peringkat akhir SePENA turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Pusat Kebudayaan USIM. 

Johan kategori tempatan milik Nor Hafuza Muhammad Arif dari UM.
Peserta dari Universiti Malaysia Sabah, iaitu Carla Goncalves De Oliveira Sarmento muncul johan kategori antarabangsa.
YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari menandatangani plak kayu sebagai simbolik majlis penutupan SePENA.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.