6 Jun 2024, 13:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Selepas tertarik dan terdorong untuk menghargai poster konsert Dato’ M. N45ir – Cipta, yang bertulisan Jawi untuk perkataan Cipta menerusi sebuah tulisan, terdapat satu lagi poster Teater Tradisional Tun Fatimah Srikandi Melaka yang mengeja Tun Fatimah dalam tulisan Jawi.

Jika konsert Dato’ M. N45ir – Cipta akan berlangsung pada 10 Ogos depan di Axiata Arena, bermula pukul 8.00 malam, Teater Tradisional Tun Fatimah Srikandi Melaka (TFSM) pula bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 7 Jun dan 8 Jun 2024 pada pukul 8.00 malam.

Perkembangan menarik ini tentu amat menggembirakan para pejuang dan pencinta tulisan Jawi tanah air. Pasti mereka turut mengharapkannya agar berterusan, dan tambah bersemarak bagi semua acara persembahan budaya yang bukan sahaja tradisional seperti TFSM ini, malah yang moden, dan juga yang bukan bidang kesenian.

Justeru, tahniah diucapkan kepada Boolan Trending bersama-sama Produksi Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM) yang menerbitkan TFSM dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka.

Harapan untuk menyemarakkan tulisan Jawi pada poster acara boleh terus disandarkan kepada Boolan Trending kerana bersama dengan PERTEM, Platinum Apple Communication dan RESBU telah merancang untuk beberapa produksi lain, seperti Konsert Ronggeng Vaganza, Konsert Dendang Warisan, Teater Hang Tuah, dan Teater Tun Perak, serta projek cuti sekolah, iaitu Teater Muzikal Kanak-kanak Cat Cit Cot.

Semoga TFSM mendapat sambutan yang hangat, sekali gus dapat menanam minat orang ramai terhadap tulisan Jawi kerana pendukungnya bukan calang-calang.

Teater ini dibintangi oleh pelakon veteran handalan, Datuk Jalaluddin Hassan bersama-sama sutradara jempolan, Aziz M. Osman, serta pelakon popular Ashraf Muslim, dan Neera Azizi yang dibantu oleh penyanyi/pelakon veteran Zack Kool, dan atlet Malaysia dari gelanggang silat, iaitu Al-Jufferi.

Memegang status juara dunia sebanyak empat kali berturut-turut dalam kejohanan silat memberikan kelebihan kepada Al-Jufferi untuk memegang watak Tun Busu.

TFSM arahan pengarah/pelakon veteran Lokman Ghani ini mengisahkan perjuangan Tun Fatimah (lakonan Neera), anak Bendahara Seri Maharaja yang jelita, dan srikandi Melaka. Dia telah dikahwinkan dengan Tun Ali. Sultan Mahmud murka kerana Datuk Bendahara tidak memperlihatkan Tun Fatimah kepada baginda terlebih dahulu sebelum dikahwinkan.

Akibat difitnah, Bendahara Seri Maharaja, serta anak, Tun Hasan, dan menantunya, Tun Ali dititahkan hukuman bunuh oleh Sultan Mahmud. Tun Fatimah dipaksa berkahwin dengan Sultan, tetapi kemudian berjaya membalas dendam terhadap pemfitnah yang memfitnah Datuk Bendahara Seri Maharaja.

Setelah berjaya menghasilkan beberapa buah teater, dan mengurus beberapa acara besar sebelum ini, Boolan Trending percaya dengan kewibawaan PERTEM, dan yakin bahawa sebanyak 800 orang penonton bakal datang menyaksikan persembahan TFSM.

Ashraf yang juga pemilik Boolan Trending bersama-sama Cik L. Ahmad mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pengurusan acara, dan juga persembahan pentas. Kedua-duanya mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan acara dan lakonan.

Lokman, selaku rakan strategik bersama-sama Nazim Rome pula merupakan nama besar dalam bidang masing-masing, yang didorong oleh penaung, iaitu YM Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi YAM Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.

Pementasan ini juga bertujuan menjayakan hasrat kerajaan Negeri Melaka dalam Misi Tahun Melawat Melaka 2024.

Kepada yang berminat menonton, sila dapatkan tiket di https://www.ticket2u.com.my/event/35912/siri-kembara-teater-tradisional-tun-fatimah-srikandi-empayar-melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.